Pelancongan negara merosot 78.6% akibat COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Pelancongan negara merosot 78.6% akibat COVID-19

Pelancongan. Gambar hiasan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 7 Dis. - Malaysia merekodkan pertumbuhan negatif dalam prestasi pelancongan negara secara keseluruhan berikutan wabak pandemik COVID-19 yang melanda dunia.

 

Tourism Malaysia berkata, bagi tempoh sembilan bulan pertama (9M20) iaitu Januari hingga September 2020, Malaysia menerima ketibaan seramai 4,299,419 pelancong antarabangsa berbanding 20.1 juta pelancong bagi tempoh sama pada tahun 2019, penurunan sebanyak 78.6%.

 

"Dari segi perbelanjaan pelancong, Malaysia merekodkan RM12.6 billion iaitu penurunan sebanyak 80.9% berbanding RM66.1 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun 2019. 

 

"Perbelanjaan per kapita turut mencatat penurunan sebanyak 10.7% daripada RM3,289.30 pada tahun 2019 kepada RM2,938.40 pada tahun ini," jelas Tourism Malaysia dalam satu kenyataan hari ini.

 

Sepuluh pasaran utama ke Malaysia masih didominasi negara-negara yang sama iaitu Singapura (1,543,627), Indonesia (710,118), China (403,055), Thailand (372,075), India (155,448), Brunei (135,848), Korea Selatan (119,364), Jepun (73,891), Australia (72,369) dan Filipina (65,601).

 

Ujar Tourism Malaysia, setiap pasaran mengikut rantau menunjukkan pertumbuhan negatif melebihi 70% iaitu pasaran jarak dekat atau ASEAN (-78.8%), pasaran jarak sederhana (-80.0%) dan pasaran jarak jauh (-74.0%).

 

Ketibaan pelawat harian (excursionists) di Malaysia pula mencatatkan sejumlah 1,733,101 pelancong, penurunan sebanyak 74.9% berbanding 6,905,378 orang yang telah melawat Malaysia bagi tempoh yang sama pada tahun lepas.

 

Malaysia terus mencatatkan penurunan ketibaan pelancong asing bagi suku ketiga berikutan penutupan sempadan negara sejak 18 Mac untuk membendung wabak pandemik COVID-19 di Malaysia.

 

"Memandangkan impak besar yang dibawa oleh pandemik ini kepada masyarakat global, negara-negara lain tidak terkecuali dari mengalami kesannya dari segi pencapaian pelancongan. 

 

"Menurut sumber dari Pacific Asia Travel Association (PATA), negara-negara jiran termasuk Thailand, Singapura, Vietnam dan Indonesia, juga mencatatkan pertumbuhan negatif melebihi 70% disebabkan larangan perjalanan antarabangsa yang dikuatkuasakan di negara masing-masing," jelas Tourism Malaysia lagi. - DagangNews.com