Pelancongan tidak pulih tahun ini - MAH | DagangNews Skip to main content

Pelancongan tidak pulih tahun ini - MAH

Industri pelancongan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 17 Feb. - Industri perhotelan dan pelancongan dilihat akan terus 'sakit' dan tidak akan pulih sepanjang tahun 2021.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng berkata, ini kerana program imunisasi COVID-19 dijangka tidak memberi impak positif dalam masa terdekat.

 

"Program imuninasi dijangka tidak memberi impak positif dalam masa terdekat kerana tempoh yang diperlukan untuk mencapai imuninasi sepenuhnya adalah tahun hadapan seperti yang diharapkan kerajaan Malaysia.

 

"Mengikut jangkaan kerajaan, Malaysia hanya akan mencapai imuninasi 80% rakyat pada suku pertama tahun 2022, ini bermaksud ia tidak akan dapat menyumbang kepada pemulihan pelancongan tahun ini.

 

"Tambahan lagi, pelancongan juga bergantung kepada imuninasi seluruh dunia untuk membolehkan aktiviti pelancongan antarabangsa," jelas beliau ketika dihubungi DagangNews.com hari ini.

 

Yap Lip Seng
Yap Lip Seng 

 

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang merupakan satu lagi langkah ke hadapan bagi menjayakan program vaksinasi terbesar di Malaysia.

 

Baca: Malaysia terima vaksin COVID-19 mulai 21 Februari ini

 

Malaysia akan menerima penghantaran pertama vaksin COVID-19 (Pfizer-BioNTech) pada 21 Februari dan akan memulakan program vaksinasi pada 26 Februari 2021.

 

Dalam pada itu, beliau menambah, Malaysia juga belum memperkenalkan sistem atau passport imuninasi dua hala untuk pergerakkan rakyat ke luar negara dan pelancong asing ke Malaysia. 

 

Mengulas berkaitan lanjutan PKP 2.0 di beberapa negeri sehingga 4 Mac semalam, beliau memberitahu, kerajaan perlu mempertimbangkan keperluan industri hotel dan pelancongan yang kehilangan semua punca pendapatan.

 

Baca: Vaksin 'talian hayat' ekonomi

 

"Walaupun industri (hotel dan pelancongan) memahami keputusan untuk melanjutkan lagi PKP secara bersasar, tetapi kerajaan perlu mempertimbangkan keperluan industri hotel dan pelancongan yang kehilangan semua punca pendapatan dengan larangan rentas negeri.

 

"Sekurang-kurangnya negeri dalam PKPB atau PKPP sepatutnya diberi kelonggaran rentas daerah dan negeri di mana keadaan adalah terkawal. 

 

"Aktiviti pelancongan telah lama terbukti bukan punca penularan COVID-19 secara mendadak. Sektor pelancongan juga telah mematuhi SOP ketat sejak tahun lepas," tambah beliau lagi.

 

Ditanya berkaitan cadangan yang dikemukakan MAH untuk meletakkan pekerja sektor pelancongan dan hotel dalam senarai utama program imunisasi, beliau memberitahu, cadangan tersebut bagaimanapun tidak mendapat apa-apa maklum balas daripada kerajaan. - DagangNews.com