Pelantikan MB baharu: Bajet 2021 Perak tidak berubah | DagangNews Skip to main content

Pelantikan MB baharu: Bajet 2021 Perak tidak berubah

SAARANI MOHAMAD mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak ke-14 di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, hari ini.

 

KUALA LUMPUR 10 Dis. - Kerajaan negeri Perak di bawah tampuk kepimpinan Menteri Besar baharu tidak akan mengubah kandungan dan intipati Belanjawan 2021 negeri itu. 

 

Belanjawan itu akan dibentangkan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti mana telah dirangka oleh pentadbiran sebelum ini.

 

Menteri Besar Perak yang baharu, Datuk Saarani Mohamad berkata, belanjawan itu hanya akan diluluskan di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebagai formaliti, sebelum dibentangkan.

 

“Saya tak fikir kita ada masa teliti atau ubah kandungan isi belanjawan yang telah pun dirangka dan dibincang bersama Exco (Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) yang lama, termasuk saya,” katanya menurut Bernama.

 

Tambah beliau, pentadbirannya meletakkan pembelaan rakyat sebagai agenda utama, terutama ketika mengharungi pandemik COVID-19.

 

Ujarnya, kerajaan negeri perlu memastikan Belanjawan 2021 Perak bukan sahaja memulihkan ekonomi, tetapi menjana ekonomi selain membantu rakyat yang susah akibat pandemik COVID-19.

 

"Saya seru semua pihak letakkan agenda rakyat sebagai keutamaan, kita tahu COVID-19 adalah cabaran getir yang perlu dihadapi kerajaan dan ia hanya mampu diharungi dengan komitmen jitu semua pihak termasuk kakitangan awam peringkat negeri dan Persekutuan," katanya. 

 

Mengulas mengenai lima Exco baharu, Saaarani berkata, nama kesemua mereka telah dipersembah dan diperkenan Sultan Nazrin pagi tadi. 

 

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan nama kesemua mereka.  - DagangNews.com