Pelawat asing ke Malaysia masih diwajibkan ujian saringan COVID-19, kata PM | DagangNews Skip to main content

Pelawat asing ke Malaysia masih diwajibkan ujian saringan COVID-19, kata PM

KUALA LUMPUR 7 Okt – Sebelum pintu sempadan negara boleh dibuka, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terlebih dahulu akan membuat penilaian risiko semasa jangkitan COVID-19 di dalam negara.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Ismail berkata, KKM juga akan mengambil kira maklumat situasi COVID-19 dari negara asal pengembara sebelum membenarkan kemasukan pengembara dari negara yang berkenaan.

 

Menurut beliau, kemasukan warganegara dan warga asing seperti pelajar, diplomat, golongan profesional serta pelabur asing telahpun mula dibenarkan bermula pada Jun 2020 semasa Fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan ketika itu.

 

Walau bagaimanapun tegas beliau, kebenaran masuk ini adalah tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) dan syarat-syarat yang telah ditetapkan termasuklah keperluan menjalani kuarantin wajib di pusat-pusat kuarantin yang telah disediakan.

 

Di bawah Pelan Pemulihan Negara ujar beliau, Kerajaan sentiasa menambah baik SOP berkaitan perkara ini, dan bermula pada 12 Ogos 2021, pengembara warganegara dan bukan warganegara yang telah menerima imunisasi lengkap boleh membuat permohonan untuk menjalani kuarantin wajib di rumah atau tempat kediaman.

 

‘’Namun,  kebenaran ini hanya boleh diberikan tertakluk kepada penilaian risiko oleh pihak KKM dan pemohon masih perlu menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum diberikan kebenaran tersebut.

 

‘’Dalam hubungan ini, persediaan melalui garis panduan terperinci serta penilaian risiko oleh KKM akan dijalankan terhadap setiap pengembara berdasarkan kepada permohonan untuk kuarantin di rumah atau tempat kediaman.

 

‘’Kerajaan sentiasa memberikan keutamaan terhadap pematuhan SOP, meningkatkan penerapan amalan kawalan kesihatan awam dan penekanan kepentingan suntikan imunisasi kepada seluruh rakyat Malaysia,’’ katanya.

 

Perdana Menteri berkata demikian semasa menjawab soalan Senator Datuk Razali Idris di siding Dewan Negara, hari ini, mengenai persediaan negara membuka pintu sempadan negara sebaik kadar kes harian COVID-19 berkurangan.

 

Ismail Sabri berkata, secara keseluruhannya, pihak Kerajaan telah melakukan pelbagai persediaan serta kelonggaran yang diberikan dibuat secara berhati-hati dengan mengambil kira perkembangan di seluruh dunia dan juga keutamaan untuk pemulihan ekonomi.

 

‘’Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua rakyat Keluarga Malaysia, kerana telah bersama-sama pihak kerajaan dalam usaha pemberian vaksin melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

 

Saya jangka, sedikit masa lagi, sasaran kita untuk mencapai 90% penduduk divaksinasi akan dapat dicapai,’’ kata Perdana Menteri. – DagangNews.com