KUALA LUMPUR 2 Ogos - Pelepasan cukai kepada syarikat multinasional (MNC) dilihat tidak lagi mampu menarik perhatian mereka ke Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri, Datuk Mohd. Nizom Sairi berkata, menerusi cadangan pembaharuan cukai global Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), pelepasan cukai akan merugikan negara destinasi berikutan negara asal MNC boleh menuntut perbezaan cukai.
“Kita perlu mempunyai insentif alternatif atau yang lebih menarik untuk syarikat-syarikat ini datang ke Malaysia,” katanya kepada pemberita pada Persidangan Cukai Kebangsaan 2022, hari ini lapor Bernama.
Mohd Nizom sebelum ini mengumumkan bahawa Malaysia bersetuju untuk melaksanakan cukai minimum global sebanyak 15% ke atas MNC tertentu mulai tahun depan.
Malaysia merupakan antara 136 negara yang diumumkan OECD sebelum ini sebagai negara yang sudah bersedia untuk memperbaharui sistem percukaian global.
Kadar cukai pendapatan korporat standard di Malaysia sebanyak 24%, bagaimanapun, MNC yang diberikan pengecualian cukai akan dikenakan cukai pada kadar keutamaan sifar hingga 10% untuk menyertai aktiviti yang digalakkan atau mengeluarkan produk yang digalakkan selama lima atau 10 tahun.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd. Shahar Abdullah berkata, Malaysia sentiasa responsif terhadap perubahan semasa dalam standard cukai yang dipersetujui di peringkat antarabangsa.
“Malaysia sentiasa memastikan persekitaran yang kompetitif untuk menarik pelaburan langsung asing dan domestik serta mencegah aktiviti pengelakan cukai rentas sempadan.
“Bagi memastikan syarikat multinasional membayar cukai yang betul yang perlu dibayar, kerajaan, melalui LHDN, akan terus membangunkan strategi yang komprehensif dalam menangani risiko pematuhan cukai antarabangsa yang termasuk menggesa kepada pendedahan dan ketelusan yang lebih baik daripada syarikat multinasional,” katanya.
Mohd. Shahar berkata, perjanjian cukai minimum global akan menjana lebih AS$125 bilion (RM557 bilion) untuk pengagihan semula keuntungan daripada kira-kira 100 MNC yang terbesar dan paling banyak mencatatkan keuntungan di dunia kepada semua negara, memastikan perniagaan ini membayar bahagian cukai yang saksama di lokasi mereka beroperasi dan menjana keuntungan.
“Daripada cuba menamatkan persaingan cukai, perjanjian cukai minimum global mengenakan sekatan yang dipersetujui secara pelbagai hala.
“Malaysia, melalui Kementerian Kewangan dan LHDN, melalui libat urus yang berterusan dengan pihak yang berkaitan, giat mengikuti perkembangan cadangan ini untuk menggubal pelan cukai korporat minimum global,” katanya. - DagangNews.com