Pelitawanis TNB sumbang 25 unit mesin dialisis | DagangNews Skip to main content

Pelitawanis TNB sumbang 25 unit mesin dialisis

 Yang Dipertua Pelitawanis TNB Kebangsaan, Datin Seri Aidah Abu menyerahkan sumbangan cenderahati kepada seorang daripada pesakit di Pusat Rawatan Dialisis Puteri Zulaikha pada 28 September lalu.

Yang Dipertua Pelitawanis TNB Kebangsaan, Datin Seri Aidah Abu menyerahkan sumbangan cenderahati kepada seorang pesakit di Pusat Rawatan Dialisis Puteri Zulaikha pada 28 September lalu.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Nov. - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi Persatuan Wanita TNB (Pelitawanis TNB) meneruskan keprihatinan dengan menyumbang sebanyak 25 unit mesin dialisis untuk kegunaan hospital dan pusat dialisis tidak berasaskan keuntungan di seluruh negara.

Yang Dipertua Pelitawanis TNB Kebangsaan, Datin Seri Aidah Abu berkata, sumbangan berkenaan adalah bagi menampung keperluan pesakit buah pinggang yang semakin meningkat.

"PELITAWANIS TNB memilih untuk menyumbang mesin dialisis kerana memahami bahawa jumlah pesakit yang memerlukan rawatan semakin meningkat dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.

 Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab. Rahman (kiri) mendengar penerangan tentang proses hemodialisis daripada seorang petugas perubatan ketika majlis penyerahan sebuah mesin dialisis kepada Pusat Yayasan Kebangsaan Negara (YKN) di Kota Bharu pada 28 September lalu.

“Lebih-lebih lagi, usaha ini bertujuan membantu mereka yang kurang berkemampuan, khususnya golongan B40 agar berpeluang menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Jumlah mesin itu melibatkan 24 unit untuk Semenanjung Malaysia dan satu unit untuk negeri Sabah.

Aidah yang juga isteri kepada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menambah, mesin dialisis itu mula diserahkan sejak awal September lalu bermula di Klang, Selangor dan yang terakhir di Kulim, Kedah.  

Yang Dipertua Pelitawanis TNB Kebangsaan, Datin Seri Aidah Abu (kanan) menyampaikan sumbangan mesin hemodialisis kepada Timbalan Pengarah (Perubatan) Hospital Hulu Terengganu, Dr. Mohamad Yurzi Mat Rani (kiri) di Hospital Hulu Terengganu Kenyir.

Pembelian mesin dialisis berkenaan adalah hasildana yang dikumpul daripada syarikat dan individu melalui penganjuran majlis Malam Amal PELITAWANIS TNB yang sepatutnya berlangsung pada Mac lalu. 

Dana sama turut digunakan untuk membantu badan-badan kebajikan lain termasuk Persatuan Kanser Network Selangor dan Wilayah Persekutuan yang menerima RM100,000, dan projek dapur terpusat untuk Autism Cafe Project sebanyak RM50,000. 

Pengerusi Pelitawanis cawangan Petaling Jaya, Datin Noor Aziah Abd Karim (dua dari kanan) bersama Yang Dipertua Persatuan Dialisis Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz Petaling Jaya, Zaidah Haron (kiri) menyempurnakan penyerahan mesin dialisis pada 18 September lalu.

Sumbangan sebanyak RM12,000 juga telah diberikan kepada Make A Wish Malaysia untuk memenuhi hasrat kanak-kanak yang menghidapi penyakit leukaemia.

“Pada bulan Jun lalu, Pelitawanis TNB berjaya mengumpulkan lebih RM1 juta lagi dana sumbangan pengurusan dan warga kerja TNB. Lebih 80 peratus dana terkumpul digunakan untuk membantu golongan B40 dan rumah-rumah anak yatim, manakala selebihnya bagi petugas barisan hadapan, pusat penjagaan warga emas dan pelajar-pelajar yang terkandas di pusat pengajian tinggi," ujarnya lagi. - DagangNews.com