Pelonggaran peraturan MM2H di dalam Belanjawan 2024 dijangka beri manfaat kepada industri hartanah domestik, kata Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Pelonggaran peraturan MM2H di dalam Belanjawan 2024 dijangka beri manfaat kepada industri hartanah domestik, kata Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Okt - Pelonggaran peraturan Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) menerusi Belanjawan 2024 dijangka memberi manfaat kepada industri domestik bagi pasaran sewa dan permintaan hartanah walaupun dikenakan duti setem sebanyak 4% kepada pembeli asing.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, duti setem itu bagaimanapun boleh mengakibatkan kenaikan 63% dalam yuran duti setem bagi hartanah berharga RM1.1 juta dan ia mungkin mengimbangi kesan positif peraturan yang dilonggarkan.

 

Katanya, impak duti setem tidak akan menjejaskan permintaan hartanah dengan ketara kerana pembeli asing membentuk kurang 10% daripada jumlah transaksi hartanah.

 

Susut nilai ringgit menjadikan hartanah Malaysia lebih murah berbanding harga negara jiran dan kadar duti setem 4% adalah jauh lebih rendah daripada kadar duti setem Singapura sebanyak 60%.

 

"Kami menjangkakan kesan terhad daripada pengurangan ambang kelulusan untuk jualan en-bloc ke tahap yang konsisten dengan amalan antarabangsa, seperti di Singapura (contoh 90% untuk pembangunan kurang daripada 10 tahun dan 80% untuk pembangunan 10 tahun atau lebih).

 

"Ini kerana kebanyakan pemaju tempatan mungkin masih lebih suka tanah kosong/padang hijau untuk projek baharu daripada membangunkan semula hartanah yang sudah usang disebabkan oleh komplikasi yang lebih sedikit (cth., proses rundingan/pembelian yang kurang memakan masa)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu terus memihak kepada pemaju yang terlibat dalam projek taman perindustrian. 

 

Katanya, tesis pelaburan bagi saham hartanah dengan pendedahan kepada Iskandar Malaysia dan Pulau Pinang kekal, menjelang pengumuman berkaitan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura pada akhir Oktober/November 2023 dan penjajaran akhir LRT Pulau Pinang menjelang awal 2024.

 

"Kami mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor hartanah," katanya. - DagangNews.com