SEIRING dengan peralihan ke fasa endemik, Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 yang merupakan kesinambungan daripada Pakej Rangsangan Ekonomi, dilihat sebagai satu langkah bijak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bagi memastikan bidang pelancongan terus berdaya saing.
Tambahan pula, sejak sempadan negara dibuka pada April lalu, Malaysia menerima kira-kira satu juta pelancong luar sekaligus menunjukkan sasaran kempen ‘Malaysia Truly Asia 2022’ hampir mencapai separuh daripada sasaran utama iaitu dua juta kemasukan pelancong luar.
Namun, di sebalik kejayaan industri pelancongan pasca pandemik, industri penuh berdaya saing ini diuji dengan kekurangan tenaga kerja mahir dan kurang mahir untuk menggerakkan industri.
Lebih menyedihkan industri pelancongan dan hospitaliti kini ketandusan hampir 20,000 tenaga kerja kesan dari pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak 2020.
Rata-rata bekas pemain industri seakan-akan takut sekiranya keadaan sebelum ini berulang lagi.
Malah ramai dari pemain industri dilaporkan beralih arah ke bidang lain seperti perindustrian dan perniagaan bagi menampung kehidupan seharian.
Hal ini sekaligus, menjadi cabaran yang berat bagi industri pelancongan untuk mengerakkan industri seperti sebelum ini.
Sebenarnya jika dilihat dari sektor ekonomi negara ini, pelancongan sebenarnya antara penyumbang terbesar dalam pendapatan negara sebelum pandemik melanda.
Pada tahun 2019 contohnya, sektor pelancongan negara menyumbang sebanyak RM86.14 bllion kepada ekonomi Malaysia. Justeru, menjadikan rasa takut untuk menceburi bidang pelancongan dan hospitaliti selepas fasa pandemik ibarat melepaskan peluang yang sedang terbuka luas.
Malah lebih merugikan jika hakikat Malaysia baru-baru ini sekali lagi mendahului senarai destinasi percutian mesra Muslim terbaik bagi industri pelancongan disia-siakan kerana ketidakpastian ekonomi dalam fasa peralihan ini.
Tambahan, menurut Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) Mastercard-CrescentRating 2022, Malaysia mendahului Turki, Arab Saudi dan Indonesia sekaligus meletakkan negara ini sebagai sebuah destinasi pilihan pelancong Muslim dunia.
Ini jelas menunjukkan potensi besar dalam bidang pelancongan selepas sekian lama bergelut dengan kegawatan akibat dari pandemik COVID-19 yang melanda.
Begitu juga dengan senario perkembangan sektor pelancongan dan hospitaliti di peringkat global yang dilaporkan pesat dari Januari 2022 oleh Pertubuhan Pelancongan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO), ruang kerjaya dalam bidang ini dijangka semakin cerah.
Dengan pertumbuhan sektor pelancongan yang pesat, permintaan untuk tenaga kerja dalam sektor ini terus meningkat menjanjikan ruang dan peluang yang terbuka luas untuk graduan dalam bidang pelancongan dan hospitaliti.
Ditambah lagi dengan kementerian pelancongan yang dilihat komited untuk terus merancakkan pertumbuhan ekonomi negara menerusi sektor pelancongan dalam negara, bidang pelancongan dijangka bakal menjadi peneraju ekonomi dalam dan luar negara.
Justeru, disarankan agar, peluang yang cerah dalam bidang pelancongan dan hospitaliti tidak dipersia-siakan.
Malah, disarankan agar, graduan dan bakal graduan bidang pelancongan dan hospitaliti mempersiapkan diri untuk menceburi bidang pelancongan dengan penuh gaya.
Turut diharapkan dari potensi yang terbuka luas dalam bidang pelancongan, pelajar lepasan SPM dan Diploma juga akan turut melihat potensi bidang ini sebagai peluang kerjaya di masa hadapan sekaligus menjadikan bidang ini sebagai pilihan utama bidang pengajian selepas tamat belajar sekolah menengah. – DagangNews.com