Pelupusan baki kepentingan CIMB dalam CGS-CIMB dijangka ‘neutral’ terhadap pendapatan – Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Pelupusan baki kepentingan CIMB dalam CGS-CIMB dijangka ‘neutral’ terhadap pendapatan – Maybank IB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 2 Jan - Pelupusan baki kepentingan CIMB Group Holdings Bhd dalam perniagaan pembrokeran sahamnya, CGS-CIMB dijangka ‘neutral’ terhadap pendapatan kumpulan, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Firma penyelidikan itu berkata ia menunggu perkembangan selanjutnya berhubung pengambilalihan KAF Equities.

 

“Kami tidak menjangkakan kesan keuntungan dan kerugian daripada pelupusan ini, kerana CIMB telah mengiktiraf sepenuhnya semua potensi keuntungan lebih awal.

 

“Mungkin terdapat sedikit peningkatan kepada modal daripada jualan itu, tetapi kami menjangkakan ini sebahagian besarnya diimbangi oleh potensi pengambilalihan KAF Equities,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Oleh itu, Maybank IB mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) RM6.70 sesaham berdasarkan nisbah harga kepada nilai buku (PBV) tahun kewangan 2024 (FY24) pada 1 kali, disokong oleh pulangan ekuiti (ROE) FY24 sebanyak 10.2%.

 

Pada 29 Disember 2023, CIMB telah melupuskan baki 25.01% dan 25% pegangan sahamnya dalam CGS-CIMB Securities International Pte Ltd (CSI) dan CGS-CIMB Holdings Sdn Bhd (CCH) masing-masing kepada CGS International Holdings Ltd (CGSI; dahulunya dikenali sebagai China Galaxy International Financial. Holdings Ltd).

 

 

ARTIKEL BERKAITAN: CIMB lengkapkan pelupusan baki kepentingannya dalam CGS-CIMB kepada CGS International Holdings bernilai RM2.5 bilion

 

 

CIMB akan menerima kira-kira RM780 juta daripada jualan ini, menjadikan jumlah hasil jualan 100% perniagaan broker saham asalnya kepada kira-kira RM2.5 bilion.

 

Firma itu berkata dengan pelupusan kedua ini, CIMB tidak akan mempunyai entiti pembrokeran saham buat masa ini, sekurang-kurangnya sehingga pengambilalihan KAF Equities dimuktamadkan.

 

Pada pukul 10.57 pagi ini, saham CIMB telah menokok 2 sen atau 0.3% kepada RM5.87 dengan permodalan pasarannya bernilai RM62.6 bilion.  - DagangNews.com