Pelupusan kepentingan firma Afrika Selatan positif untuk UEM Sunrise, projek 'terlalu jauh' untuk dipantau | DagangNews Skip to main content

Pelupusan kepentingan firma Afrika Selatan positif untuk UEM Sunrise, projek 'terlalu jauh' untuk dipantau

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Cadangan UEM Sunrise Berhad untuk melupuskan pegangan dalam firma Afrika Selatan akan membolehkan kumpulan itu menyelaraskan operasinya kepada pembangunan yang boleh mendatangkan hasil yang lebih positif.

 

UEM Sunrise mengumumkan bahawa mereka telah melupuskan firma pembangunan hartanah Afrika Selatan itu pada harga RM38 juta.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, kumpulan itu dijangka meraih keuntungan kira-kira RM20 juta daripada pelupusan itu.

 

Firma itu berkata, selepas pelupusan firma itu dan termasuk pengambilalihan di Kuala Lumpur baru-baru ini, penggearan bersih UEM Sunrise dijangka meningkat kepada 0.53 kali daripada 0.5 kali pada 31 Mac 2022.

 

"Kami positif terhadap perkembangan ini kerana kami percaya pembangunan Afrika Selatan terlalu jauh dan sukar untuk dipantau untuk UEM Sunrise.

 

"Pelupusan itu akan membolehkan kumpulan menyelaraskan operasinya dan menumpukan sumbernya kepada pembangunan di mana ia mempunyai potensi yang lebih positif," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu bagaimanapun kekal berhati-hati terhadap prospek jangka pendek kumpulan memandangkan momentum jualan yang semakin lemah selepas berakhirnya kempen pemilikan rumah (HOC), kenaikan kos pembinaan dan keadaan kekurangan pekerja.

 

Katanya, kumpulan itu juga mempunyai bank tanah yang besar di Johor tetapi prospek hartanah di sana kekal lemah.

 

"Kami mengekalkan saranan 'pegang' terhadap UEM Sunrise pada harga sasaran (TP) tidak berubah 30 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com