Pelupusan operasi di luar negara berjalan dengan baik, CGS-CIMB naikkan penarafan KPJ Healthcare kepada 'tambah'  | DagangNews Skip to main content

Pelupusan operasi di luar negara berjalan dengan baik, CGS-CIMB naikkan penarafan KPJ Healthcare kepada 'tambah' 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Cadangan KPJ Healthcare Bhd. untuk melupuskan operasinya yang tidak menguntungkan di Indonesia sedang berjalan dengan baik dan dijangka dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini, demikian menurut CGS-CIMB Research. 

 

Penganalisisnya, Sherman Lam Hsien Jin berkata, bagaimanapun, penjualan Jeta Gardens di Australia mungkin tertangguh sehingga akhir tahun hadapan berbanding sasaran sebelum ini pada suku ketiga 2023.

 

Buat masa ini, katanya, KPJ Healthcare bercadang untuk melaburkan semula hasil tunai daripada penjualan operasinya di Indonesia untuk meningkatkan kapasiti di KPJ Damansara Specialist Hospital 2 (DSH 2) dan ia tidak mengunjurkan hasil tunai material daripada jualan Jeta Gardens.

 

"Kumpulan menghadapi risiko yang terhad daripada pergerakan dalam kadar faedah kerana kurang 30% daripada jumlah hutang adalah pada kadar terapung dan kadar tukaran forex kerana hutang mata wang asing tidak dilindungi hanya kurang 1% daripada jumlah hutang," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Pada Julai lalu, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, kumpulan melupuskan operasi di Australia dan Indonesia dalam tempoh 12 hingga 24 bulan akan datang sebagai sebahagian daripada pelan rasionalisasi untuk merangsang pertumbuhan selepas pandemik COVID-19. 

 

Secara keseluruhan, kumpulan penjagaan kesihatan swasta itu memiliki 6 operasi di luar negara termasuk Jeta Gardens, pusat penjagaan warga emas dan persaraan di Queensland, Australia serta 2 hospital di Indonesia selain operasi di Bangladesh dan Thailand.

 

KPJ Healthcare akan mengumumkan prestasi suku kedua berakhir 30 Jun 2022 pada akhir bulan ini. 

 

Bagi suku pertama, untung bersihnya melonjak 71% kepada RM22.19 juta daripada RM12.98 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan juga meningkat 7.4% kepada RM651.02 juta daripada RM605.94 juta.

 

Pertumbuhan itu disokong oleh langkah berhemat dan proaktif kumpulan untuk mengurus kos operasi dan mengekalkan margin di sebalik cabaran pandemik COVID-19.

 

Hsien Jin menjangkakan kumpulan akan merekodkan hasil dan pendapatan sesaham (EPS) teras yang lebih baik bagi suku ke suku dan tahun ke tahun pada suku kedua ini berikutan peningkatan jumlah pesakit dan kadar penghunian katil (BOR).

 

Katanya, BOR kembali pulih ke tahap sebelum pandemik antara 66 hingga 67% pada akhir Mei 2022. 

 

"Pada masa sama, kumpulan menjangkakan penjimatan kos daripada pemusatan fungsi tertentu (antaranya perolehan, pengurusan kredit/kemudahan yang dilaksanakan pada 2021) akan diimbangi oleh tekanan kos (untuk penyedia perkhidmatan luar, disebabkan oleh gaji minimum yang lebih tinggi) dalam tempoh terdekat," jelasnya.

 

Menurut beliau, pendapatan daripada pelancongan kesihatan juga meningkat 21% tahun ke tahun pada separuh pertama 2022, walaupun daripada asas yang rendah pada separuh pertama tahun lalu ekoran pembukaan sempadan antarabangsa. 

 

Jelasnya, KPJ Healthcare menjangkakan segmen itu akan menyumbang kira-kira 10% daripada pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) manakala antara 10 hingga 15% pada FY23.

 

"Bagi mencapai sasaran ini, kumpulan telah menyediakan kemudahan tanpa tunai menerusi kerjasama dengan bank asing, mendapatkan panel insurans antarabangsa baharu dan menjalankan promosi dalam pasaran dan acara yang disasarkan dianjurkan oleh Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia.

 

"Untuk tujuan ini, sebanyak 12 daripada 29 hospitalnya di Malaysia akan diperuntukkan untuk pelancongan kesihatan termasuk DSH 2 (prapelancaran pertengahan Ogos)," katanya. 

 

Bagaimanapun, dengan mengambil kira kerugian daripada operasi DSH 2 dan peningkatan pelaburan modal (capex), beliau mengurangkan EPS teras bagi FY22 sebanyak 15%.

 

Sebaliknya, EPS bagi FY23 dan FY24 masing-masing dinaikkan sebanyak 2% dan 10% berikutan sumbangan segmen pelancongan kesihatan yang lebih tinggi dan langkah penjimatan kos.

 

Secara keseluruhan, CGS-CIMB menaikkan penarafan KPJ Healthcare kepada 'tambah' berbanding 'pegang' sebelum ini dengan harga sasaran lebih tinggi pada RM1.04 daripada 99 sen. 

 

"Kami menaikkan penarafannya memandangkan ganjaran risiko condong ke atas, dengan pemulihan pendapatan sepenuhnya daripada COVID-19, peningkatan menerusi segmen pelancongan kesihatan dan pelupusan operasi asingnya sebagai pemangkin penarafan semula," katanya. - DagangNews.com