KUALA LUMPUR 17 Ogos - Cadangan Swift Haulage Bhd. untuk melupuskan tanah perindustrian di Klang pada nilai RM38.4 juta akan meningkatkan pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) sebanyak 3%.
Menurut Kenanga Research, hasil pelupusan itu juga akan mengurangkan penggearan bersih kumpulan kepada 0.78 kali daripada 0.83 kali sebelum ini.
Katanya, Swift Haulage akan meraih keuntungan sekali berjumlah RM14 juta daripada cadangan berkenaan yang akan meningkatkan pendapatan bagi FY23 berikutan penjimatan faedah daripada hasil tersebut.
"Kami juga melihat harga yang ditawarkan adalah adil memandangkan urus niaga itu menilai tanah ini pada kira-kira RM74 kaki persegi.
"Sebagai perbandingan, petak tanah perindustrian yang berdekatan disenaraikan antara RM65 hingga RM88 kaki persegi.
"Bagaimanapun, kami memahami bahawa tanah itu bukanlah lokasi utama untuk pergudangan dan Swift Haulage akan mengintegrasikan operasi Pelabuhan Klang kepada gudangnya yang lebih besar di Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang dijadualkan beroperasi tidak lama lagi," katanya dalam nota kajian hari ini.
Swift Haulage mahu menjual petak tanah industri seluas 11.9 ekar di Bandar Sultan Sulaiman, Klang, Selangor, kepada syarikat swasta, TPC Land SB dengan tunai RM38.4 juta.
Buat masa ini, tanah itu digunakan sebagai kawasan depoh kontena yang merupakan aset bukan teras kumpulan.
Sementara menantikan butiran lanjut mengenai langkah berkenaan, Kenanga Research mengekalkan pandangan 'outperform' terhadap Swift Haulage dengan harga sasaran pada RM1.01 sesaham.
Setakat 9.58 pagi, harga sahamnya menokok 0.5 sen atau 0.87% kepada 58 sen dengan 1.05 juta saham diniagakan. - DagangNews.com