Pelupusan tanah HVM berharga RM52.3 juta, Maybank IB jangka tiada kesan kewangan ketara terhadap UMW | DagangNews Skip to main content

Pelupusan tanah HVM berharga RM52.3 juta, Maybank IB jangka tiada kesan kewangan ketara terhadap UMW

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Dis - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan tiada sebarang kesan kewangan ketara terhadap UMW Holdings Berhad daripada pelupusan tanah seluas 8.98 hektar di High Value Manufacturing Park (HVM), Serendah kepada Perodua pada harga RM52.3 juta.

 

Katanya, harga pelupusan tanah (RM54 bagi sekaki persegi) ditentukan selepas menggunakan diskaun 10% pada harga jualan terkini plot bersebelahan, iaitu RM60 sekaki persegi.

 

Kumpulan itu menjangkakan keuntungan sebanyak RM6 juta berikutan pelupusan itu.

 

"Menurut semakan saluran kami, nilai pasaran tanah Taman HVM, seperti yang disenaraikan dalam talian, ialah RM75 sekaki persegi, mencerminkan premium sebanyak 28% berbanding harga pelupusan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, sebelum ini UMW Lubetech secara rasmi membuka kilang pengadun pelincir automatik baharunya di Taman Perindustrian Pulau Indah Klang.

 

Beroperasi sejak April 2023, loji itu mempunyai kapasiti 60 juta liter setahun berbanding 35 juta liter di kemudahan lama Shah Alam.

 

Pada masa ini, kilang itu beroperasi pada kapasiti 50%, ia dijangka menjana pendapatan sekitar RM300 juta, menyumbang kira-kira 30% kepada segmen mekanikal dan  kejuruteraan.

 

"Permintaan terhadap segmen peralatan disokong oleh projek infrastruktur, manakala segmen mekanikal dan kejuruteraan diunjur berkembang bersama bahagian automotif yang dipacu oleh peningkatan permintaan produk automotif. 

 

"Sumbangan awal daripada loji pelincir pintar baharu, dan peningkatan penggunaan kemudahan aeroangkasa," katanya.

 

Maybank IB mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM6.22 sesaham. - DagangNews.com