Pelupusan tanah pertanian di Tawau, hanya beri impak kecil kepada operasi Hap Seng Plantations | DagangNews Skip to main content

Pelupusan tanah pertanian di Tawau, hanya beri impak kecil kepada operasi Hap Seng Plantations

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 25 Jan - Operasi Hap Seng Plantations Holdings Bhd. hanya berdepan impak yang kecil berikutan pelupusan Ladang Bukit Muul, menurut Kenanga Research. 

 

Semalam Hap Seng Plantations mengumumkan telah menyelesaikan cadangan penjualan 7 bidang tanah pertanian di Tawau, Sabah kepada syarikat induknya, Hap Seng Consolidated Bhd. (HSCB).

 

Ini kerana ladang itu hanya menyumbang 2% atau 15,000 tan metrik daripada keseluruhan pengeluaran tahunan tandan buah segar. 

 

"Bagaimanapun, penjualan ini akan meningkatkan lagi simpanan tunai kumpulan," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Firma tersebut mengekalkan saranan 'outperform' terhadap Hap Seng Plantations susulan prospek dividen kumpulan yang positif. 

 

Malah, ia juga menyemak semula harga sasaran lebih tinggi kepada RM2.65 daripada RM2.30 sebelum ini. 

 

Kenanga Research menjangkakan kumpulan akan merekodkan hasil dividen antara 5 hingga 7% bagi tahun kewangan 2021 (FY21) hingga FY23 disokong aliran tunai yang kukuh dan lebihan simpanan tunai yang tinggi hasil daripada pelupusan tersebut. 

 

"Keuntungan bersih teras dijangka melonjak hampir 3 kali ganda tahun ke tahun, daripada RM69.3 juta pada FY20 kepada RM190 juta.

 

"Pretasi ini dipacu harga minyak mentah sawit yang tinggi meskipun pengeluaran tandan buah segar berkurangan 7% tahun ke tahun kepada 593,000 tan metrik," jelasnya. 

 

Namun, ia mengekalkan pendapatan sesaham (EPS) teras bagi FY21 tetapi menyemak naik EPS teras FY22 sebanyak 17% kepada 17.8 sen berikutan anggaran minyak sawit mentah yang tinggi sebanyak RM3,500 satu tan metrik. - DagangNews.com