Pemain industri runcit tidak setuju Selangor kenakan caj vaksin | DagangNews Skip to main content

Pemain industri runcit tidak setuju Selangor kenakan caj vaksin

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Mei - Pemain industri runcit di seluruh Malaysia membantah cadangan Selangor yang mahu mengenakan caj ke atas perniagaan bagi program suntikan vaksin COVID-19 ‘Selgate’ oleh kerajaan negeri. 

 

Empat kesatuan dari industri berkenaan menegaskan bahawa kebanyakan perniagaan ketika ini masih lagi bergelut akibat pandemik COVID-19 dan mendakwa sebarang beban kewangan bakal merencatkan perniagaan mereka. 

 

“Kami meminta kerajaan negeri Selangor untuk mengkaji semula cadangan mengenakan caj bagi vaksinasi di negeri itu yang telah memperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk membeli vaksin ekoran keadaan yang mendesak dan kritikal ini. 

 

“Inilah masanya untuk memanfaatkan simpanan bagi menyelamatkan rakyat, selamatkan ekonomi dan negara,” tegas Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK), Persatuan Peruncit Malaysia (MRA), Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA) dan Persatuan Peruncit Bumiputra (BPO) menerusi satu kenyataan bersama hari ini. 

 

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam Selangor, Dr. Siti Mariah Mahmud mengumumkan kerajaan negeri telah menempah sehingga 2.5 juta dos vaksin COVID-19, yang antaranya akan dijual kepada majikan di negeri itu. 

 

Baca : Selangor jual vaksin : 3,500 syarikat sudah berdaftar

 

Melalui pendaftaran dengan Selgate Corporation, sebanyak 3,500 buah syarikat yang merangkumi hampir 1 juta pekerja menyatakan minat untuk membeli vaksin itu. 

 

Inisiatif itu diambil selepas hanya sekitar 3.3% sahaja rakyat Selangor telah menerima suntikan vaksin COVID-19, di mana lebih rendah berbanding negeri lain seperti Kuala Lumpur dan Pahang.

 

Tambah kesatuan-kesatuan itu, mereka menyokong inisiatif Selgate Corporation di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk mempercepatkan vaksinasi pekerja di Selangor, namun ini didakwa bertentangan dengan komitmen dan niat asal kerajaan persekutuan yang mahu memberikan suntikan vaksin secara percuma. 

 

Mereka sukar untuk menerima caj sehingga RM380 bagi setiap suntikan yang dilihat terlalu tinggi sedangkan kos vaksin global telah diterbitkan secara meluas dan diketahui masyarakat umum. 

 

Cadangan untuk membayar kos vaksin kepada kerajaan negeri didakwa sebagai bermotifkan keuntungan, jelas kenyataan itu lagi. 

 

“Kami akan menyokong mana-mana program yang bergerak seiring untuk meningkatkan proses vaksinasi di negara kita tetapi mesti mengikut komitmen dan niat asal iaitu pada prinsipnya, vaksinasi mesti diberikan secara percuma seperti yang dijanjikan.

 

“Dalam situasi kritikal untuk menyelamatkan nyawa dan mata pencarian, objektif utama adalah untuk meneroka semua jalan bagi mendapatkan bekalan (vaksin) yang mencukupi dan meningkatkan vaksinasi serta kami yakin rakyat tidak akan mempunyai keraguan terhadap pihak berkuasa sekiranya menggunakan sumber kewangan negara untuk mencapai hasrat ini,” tambah mereka lagi. 

 

Dalam pada itu, mereka mendedahkan bahawa pemain industri pusat beli-belah dan runcit juga telah mencadangkan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk menjalankan suntikan vaksin di luar pusat vaksinasi untuk mempercepatkan proses tersebut. 

 

Susulan itu, MOSTI didakwa telah memenuhi permintaan mereka dan kini sedang berbincang dengan pemilik perniagaan untuk menaja tempat dan menyediakan logistik bagi vaksinasi di lokasi terpilih. - DagangNews.com