Pemasangan ruang pengecas EV beri impak positif kepada peningkatan profil ESG dalam sektor REIT - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Pemasangan ruang pengecas EV beri impak positif kepada peningkatan profil ESG dalam sektor REIT - AmInvestment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Jan - Pemasangan ruang pengecas kenderaan elektrik (EV) di pusat beli-belah memberi impak positif kepada peningkatan profil amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam sektor amanah pelaburan hartanah (REIT).

 

AmInvestment Bank Research berkata, kesedaran yang semakin meningkat tentang kesan alam sekitar mendorong peningkatan populariti terhadap penggunaan EV.

 

Katanya, pada tahun ini trend yang ketara telah di pusat beli-belah Lembah Klang, seperti Sunway Pyramid, Pavilion KL dan Mid Valley Megamall, di mana semakin banyak pusat membeli-belah telah mula memasang ruang pengecas EV di kemudahan tempat letak kereta.

"Hektar REIT telah bekerjasama dengan GMA Resources untuk memasang 13 ruang pengecasan EV di kesemua enam pusat beli-belahnya bermula dari 1 Januari 2024.

 

"Bagi jangka panjang, apabila penggunaan EV meningkat, pusat beli-belah yang menawarkan ruang pengecasan EV berpotensi meningkatkan profil ESG mereka, di mana Sunway REIT pada masa ini mempunyai penarafan tertinggi empat bintang di kalangan liputan sektor kami," katanya dalam satu nota kajian.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Hektar REIT pasang 13 stesen pengecasan kenderaan elektrik di 6 pusat beli-belah bermula 1 Januari 2024

 

Firma penyelidikan itu berkata, pengembalian sewa bagi pusat beli-belah kurang popular untuk kekal mendatar antara 1% hingga 2% pada separuh pertama 2024.

 

Katanya, peningkatan jumlah pusat membeli-belah, khususnya di kawasan Lembah Klang, memberikan cabaran bagi pusat membeli-belah yang kurang popular untuk terus bersaing.

 

"Bagi pusat membeli-belah yang lebih kecil ini, peningkatan kadar penghuniang adalah penting dengan tawaran sewa yang lebih menarik," katanya.

 

AmInvestment berkata, sektor itu bagaimanapun berdepan risiko stagflasi yang dilihat boleh melemahkan prospek pendapatan disebabkan kadar penghunian lebih rendah untuk aset REIT, pengembalian sewa rendah dan kemungkinan rebat sewa ditawarkan semula kepada penyewa.

 

"Kami mengekalkan saranan 'overweight' dengan kadar penghunian yang stabil merentas aset utama iaitu runcit, pejabat dan hospitaliti," katanya. - DagangNews.com