Pembangkang jumpa PM - Mengubah landskap politik | DagangNews Skip to main content

Pembangkang jumpa PM - Mengubah landskap politik

Oleh MOHD FUDZAIL MOHD NOR
Kolumnis DagangNews.com

 

 

PERISTIWA bersejarah berlaku bila pertemuan antara Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) pada 25 ogos 2021. Langkah ini perlu disusuli tindakan dengan langkah konkrit dan jitu.

 

Pertemuan empat pemimpin berpotensi untuk mengubah landskap dan budaya politik yang menghadapi kemelut. Jika semangat pertemuan diikuti untuk membawa reformasi dan pembaharuan dalam tatakelola pentadbiran kerajaan dan memperkasakan institusi parlimen seluruhnya.

 

Perlu dianjak dan diubah paradigma lama, parti kerajaan melihat parti pembangkang sebagai musuh politik semata-mata. Kerajaan dan pembangkang mempunyai peranan dan tugas masing-masing. Kerjasama perlu walaupun keduanya tetap akan berlawan antara satu sama lain dalam pilihan raya yang menyusul.

 

Kedua-dua pihak mencapai pesetujuan dalam memperkasa fungsi parlimen sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif, menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif secara saksama.

 

Seterusnya bersetuju peri pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik dalam memerintah.

 

Cabaran menanti, bagaimana merealisasikan semangat yang dipersetujui bersama dan bekerjasama?

Satu langkah ke belakang untuk mempunyai ruang yang cukup besar bagi mencapai satu persefahaman.  Ini memberi impak positif jangka panjang dan berkekalan.

 

Setiap ahli politik mempunyai peranan untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem politik dan memerlukan pengorbanan yang tinggi untuk melupakan pergaduhan di parlimen.

 

Walaubagaimana pun ada perbezaan antara aspirasi Perdana Menteri dan aspirasi ahli Umno yang menguasai pemerintahan. Agak ketara yang ahli Umno dengan kuasa baru yang boleh kembali kepada cara lama bekerja dan mentadbir negara pada amnya.

 

Ramai bergiat untuk mendapat habuan melalui projek-projek kerajaan dan hidup senang-lenang. Ramai dengan syarikat masing-masing termasuk wakil rakyat mengambil kesempatan dan kedudukan jawatan.

 

Pada kebiasaan tiada siapa melarang ahli umno dengan amaran tentang kesalahan budaya Umno yang sejak lama dipraktikkan. Kita tidak mahu perkara seumpama terus berlaku.

 

Pentabiran dan perjalanan kerajaan jangan sekali kembali ke era dan zaman berlalu yang perlu berubah, bukan lagi mengikut selera sendiri dengan mengenepikan rakyat.

 

 

PM
PERTEMUAN BERSEJARAH... dari kiri Mohamad Sabu, Anwar Ibrahim, Ismail Sabri Yaakob dan Lim Guan Eng di Putrajaya pada 25 Ogos 2021.

 

 

Bolehkah dan mahukan Umno berubah?

Satu persoalan yang semestinya Perdana Menteri membawa perubahan untuk norma baharu.

 

Satu lagi isu yang menjadi sinonim dengan Umno iaitu isu perkauman dengan pendekatan membahagi dan memerintah. Isu perkauman sudah menebal dalam kalangan ahli-ahli Umno dan menjadi sebahagian dari perjuangan.

 

Perdana Menteri seperti ucapannya `Keluarga Malaysia' mesti keluar kerana cara ini tidak sesuai dalam waktu sekarang. Pada tahun 2021 dan bergerak ke depan tiada lagi mengira bangsa, darjat, kelas, asal-usul negeri, dan agama yang membatasi keturunan.

 

Sistem feudal sepatutnya dihapuskan untuk ahli Umno terdapat kasta, kelas atau kumpulan yang berbeza antara sesama mereka yang memisahkan dan merengangkan.

 

Dengan pertemuan empat pemimpin yang menampakkan perubahan sepatutnya Umno era baharu dengan menghapuskan isu perkauman kerana Perdana Menteri baru untuk setiap rakyat.

 

Isu kebebasan bersuara juga perlu dihidupkan untuk rakyat menilai kegiatan wakil rakyat seadilnya. Wakil rakyat tidak sempurna dan perlu kritikan untuk membina masyarakat yang positif dan dinamik.

 

Umno telah biasa dengan kuku besi dan menggunakan pelbagai kekerasan dan cara yang memaksa rakyat mengikut. Apparatus kerajaan seperti askar, polis, imigresen, pejabat pendaftaran pertubuhan, FRU, Rela digunakan untuk menunduk lawan politik pada masa dahulu.

 

Orang muda patut diberi ruang yang berbeza pendapat untuk menunjuk perasaan, turun di jalan dan berdemonstrasi dengan aman sekiranya perlu. Telah lama berakhir orang muda mesti mengikut telunjuk kerajaan. Kia orang tua harus memberi  ruang untuk orang muda berfikir dan merumuskan pendapat sendiri tanpa sebarang propaganda dari superfisial.

 

Seharusnya menghapuskan akta-akta lapuk seperti Akta Kesalahan Keselamatan SOSMA dan Akta Hasutan, untuk menekan kebebasan bersuara.

 

Apalagi untuk mengkaji Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia yang telah disalahgunakan untuk mengekang kebebasan bersuara menerusi media elektronik.

 

Isu ekonomi dan rasuah adalah isu mencabar dan kritikal buat perdana menteri baru.

Selain pandemik COVID-19, pemberhentian kerja, penggangguran, bunuh dari, perceraian, gelandangan, pergaduhan rumah tangga, kematian COVID-19, anak kehilangan ibu bapa, ibu bapa kehilangan anak dan bermacam-macam lagi.

 

Kita pasti Umno mempunyai pemikir dan perlu diluahkan kepada semua rakyat Malaysia tidak kira kaum yang  cekap dan berupaya untuk memberi pelan-pelan utama demi menangani masalah. Misalnya pelan kesihatan, pelan penstabilan politik serta pelan pemulihan masalah sosio-ekonomi yang dilanda oleh kesan wabak pandemik COVID-19.

 

Harus belajar daripada kesilapan dan segala kesalahan yang dilakukan selama 17 bulan lalu dan mungkin dapat selesaikan beberapa masalah utama dengan segera.

 

Ruang ekonomi perlu dibuka kepada semua rakyat kerana ramai yang tergolong dalam kumpulan bawahan yang mendapat bantuan kerajaan. Kita ada B40 atau 40% golongan bawahan dari segi pendapatan bulanan.

 

B40 terdiri dari kaum Bumiputera dengan majoritinya lebih 65% yang bererti lebih dari 12 juta penduduk hidup dalam kemiskinan tegar dan semakin meningkat. Polisi kerajaan mestilah untuk membantu semua kaum yang berada di dalam kategori B40 dan bukan kaum Bumiputera yang senang-lenang.

 

Kegagalan besar polisi Umno adalah Dasar Ekonomi Baru (DEB) kerana tidak berjaya menaikkan taraf ekonomi kaum Bumiputera. Perlu diganti dengan kaedah yang baharu dan lebih inklusif untuk membela semua kaum termiskin tidak kira siapa. DEB mungkin untuk papa pemimpin Umno sebenarnya.

 

Seterusnya adalah isu rasuah semakin meningkat dengan COVID-19

Peningkatan kes rasuah berskala besar membabitkan sindiket jenayah dan kartel serta penjawat awam sejak wabak COVID-19 melanda awal tahun lalu.

 

Peningkatan dipercayai kesan kegawatan ekonomi akibat penularan pandemik itu yang menyebabkan semakin ramai individu berada dalam keadaan terdesak.

 

Keadaan diburukkan dengan sistem nilai dalam kalangan penjawat awam yang semakin longgar, menyebabkan semakin ramai bersekongkol dengan sindiket dan kartel untuk melakukan rasuah.

 

Zaman COVID-19 ini boleh dikatakan trend kes berskala besar mula meningkat, membabitkan sindiket jenayah dan kartel muncul begitu banyak. Sekarang terdedah kerana mungkin ramai yang tidak boleh cari makan akibat aktiviti rasuah yang semakin meningkat.

 

Antaranya kes kartel tender kerajaan, sistem imigresen digodam dan penangkapan bersiri pegawai kerajaan terbabit rasuah secara bergerombolan atau daripada agensi penguatkuasaan. Sekali tangkap 30 hingga 40 orang.

 

Sistem nilai dalam kalangan pegawai kerajaan dilihat semakin longgar apabila lebih mengutamakan kebendaan berbanding keghairahan berkhidmat kepada rakyat dan negara.

 

Hakikatnya memiliki sistem tadbir urus yang baik, namun dikhianati dan dirosakkan segelintir penjawat awam yang tidak berintegriti.

 

Sudah sampai masanya kerajaan buat pelaburan yang banyak untuk meningkatkan modal insan atau integiriti pegawai kerajaan sebelum terlambat kerana mereka tulang belakang negara. Mereka yang menyampaikan perkhidmatan, yang berjumpa rakyat setiap hari adalah 1.6 juta pegawai kerajaan.

 

Rasuah memerlukan pendidikan yang perlu memasukkan unsur anti-rasuah selain keusahawan di dalam era yang tidak lagi mengharapkan pekerjaan untuk survival.

 

Kita berharap pertemuan kerajaan dan pembangkang menjadi senjata politik yang kuat dan memberi erti kepada keduanya dalam memulihkan ekonomi dan sosio-ekonimi yang terus terjerumus dengan COVID-19. - DagangNews.com

 

 
DISCLAIMER : Pendapat di atas adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian Jabatan Editorial DagangNews.com