Pembangunan M Azura di Setapak, Kenanga Research jangka Mah Sing raih hasil lebih cepat | DagangNews Skip to main content

Pembangunan M Azura di Setapak, Kenanga Research jangka Mah Sing raih hasil lebih cepat

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Dis - Kenanga Research positif terhadap rancangan Mah Sing Group Berhad bagi menyediakan kediaman mampu milik iaitu M Azura dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM508 juta di atas tanah seluas 1.61 hektar di Setapak Kuala Lumpur.

 

Firma penyelidikan itu percaya bahawa kumpulan itu membayar harga yang berpatutan bagi kawasan yang matang dan membolehkan kumpulan itu mendapatkan hasil dengan lebih cepat.

 

Pada harga RM74.3 juta, mereka mendapati bahawa harga belian adalah adil dari segi harga bagi setiap kaki persegi serta nisbah tanah ke GDV.

 

"Berbanding dengan tanah yang lebih kecil kurang daripada 0.4 hektar pada masa ini pada RM380 hingga RM400/kaki persegi di kawasan sekitar, premium yang dilampirkan kepada tanda harga RM426/kaki persegi kelihatan munasabah untuk aksesnya yang lebih besar kepada infrastruktur pengangkutan awam dan lebuh raya utama.

 

"Bagi harga permulaan indikatif sebanyak RM397,000, kami mendapati ia berpatutan berbanding harga yang diminta antara RM400,000 hingga RM600,000 bagi rumah sub-jualan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Mah Sing beli tanah seluas 1.61 hektar di Setapak bernilai RM74.3 juta bagi bangunkan M Azura

 

Terdahulu, M Azura akan terdiri daripada dua blok pangsapuri servis dengan binaan indikatif seluas 700 kaki persegi, 850 kaki persegi dan 1,000 kaki persegi berdasarkan pelan awal dan tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa.

 

M Azura boleh diakses melalui Jalan Genting Kelang, Jalan Lingkaran Tengah 2, Lebuhraya Duke dan Jalan Tun Razak.


Kenanga Research menyukai kumpulan itu kerana produk mereka fokus kepada menyediakan kemudahan kemasukan bagi pembeli rumah kali pertama selain pemulihan pengurusan bank tanah yang kukuh yang meminimumkan kos pembawaan.

 

"Bagaimanapun, kumpulan itu masih terdedah secara relatif kepada hartanah kediaman bertingkat tinggi yang akan terus berada dalam keadaan tidak terjual di kawasan tertentu," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga RM1.00 sesaham. - DagangNews.com