PUTRAJAYA 16 Sept - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembayaran Fasa 3 dan Rayuan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) akan dikreditkan ke dalam akaun penerima mulai 20 September 2022 secara berperingkat dan dijangka selesai pada 27 September 2022.
"Pembayaran berjumlah RM2.2 bilion ini akan memanfaatkan seramai 8.7 juta penerima yang terdiri daripada penerima BKM sedia ada kategori isi rumah, warga emas bujang/tiada pasangan dan bujang serta mereka yang telah lulus Rayuan BKM.
"Untuk BKM Fasa 3, setiap penerima BKM sedia ada bakal menerima sehingga RM900.
"Lebih daripada 80,000 penerima telah diluluskan Rayuan BKM dan akan menerima sehingga RM2,350 mengikut kategori kelayakan masing-masing termasuk Bantuan Tunai Tambahan yang diumumkan Kerajaan pada Jun yang lepas," kata Perdana Menteri dalam kenyataan di sini hari ini.
Sehingga September 2022 kata beliau, sebanyak RM5.9 bilion telah disalurkan kepada penerima BKM melalui fasa pembayaran yang telah ditetapkan dan masih terdapat bayaran fasa 4 berjumlah RM2.1 bilion yang akan disalurkan kepada mereka yang layak pada Disember 2022.
Semakan status pembayaran boleh dibuat mulai 20 September 2022 melalui pautan https://bkm.hasil.gov.my.
Ismail Sabri berkata, kerajaan sentiasa mengutamakan kebajikan seluruh Keluarga Malaysia terutama ketika negara berdepan dengan cabaran kenaikan inflasi dan juga krisis geopolitik yang memberi kesan menyeluruh terhadap rantaian global.
"Kerajaan kekal komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia terutamanya kumpulan sasar dengan aspek jaringan keselamatan sosial akan terus diberi tumpuan di dalam Bajet 2023," kata Perdana Menteri. - DagangNews.com