KUALA LUMPUR 8 Jun - Kementerian Kewangan (MoF), menerusi inisiatif MyDIGITAL, akan memastikan pembayaran bagi semua perkhidmatan kerajaan akan dibuat secara tanpa tunai menjelang 2022, kata menteri berkenaan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata ini akan mendorong keselamatan transaksi lebih tinggi, penyelarasan lebih baik, komunikasi mengenai usaha antirasuah dipertingkatkan serta perkongsian maklumat lebih mudah.
"Setakat akhir tahun lepas, 60% daripada kutipan bayaran keseluruhan kerajaan adalah menerusi e-pembayaran," katanya semasa berucap merasmikan Persidangan Institut Akauntan Malaysia (MIA) 2021 yang dianjurkan secara maya pada Selasa, lapor Bernama.
MyDIGITAL menggariskan rancangan untuk mempercepat pencapaian Malaysia sebagai negara ekonomi maju dari segi teknologi, melalui Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.
MyDIGITAL adalah satu inisiatif negara yang melambangkan aspirasi kerajaan untuk mentransformasi Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi yang berpacukan teknologi dan pendigitalan, serta sebagai peneraju serantau dalam ekonomi digital.
Tengku Zafrul berkata kerajaan meneruskan usaha untuk memastikan tadbir urus yang baik, penyampaian perkhidmatan awam lebih cekap dan berkesan di samping mengekang ketirisan, penipuan dan rasuah.
Beliau berkata sehingga kini, kerajaan menggalakkan pendigitalan dalam pelbagai aspek termasuk pemodenan penyampaian perkhidmatan awam dan dalam usaha membendung rasuah, memandangkan tindakan penting itu akan mengurangkan titik hubungan langsung di antara pihak awam dengan pegawai atau kakitangan kerajaan.
Kerajaan juga telah beralih kepada sistem kad pengenalan elektronik dan pengesahan identiti secara biometrik bagi pengesahan diri orang ramai, yang mempercepat bantuan kerajaan secara langsung untuk memastikan keterangkuman, kebolehcapaian, ketelusan dan kebertanggungjawapan.
Setakat ini, bantuan langsung kebanyakan dilakukan tanpa menggunakan tunai dengan permohonan dan pembayaran untuk Bantuan Prihatin Rakyat dan Geran Khas Prihatin dibuat secara elektronik dan dalam talian.
Beliau berkata sebagai orang yang berpengaruh dan penyokong penting terhadap keputusan yang tepat, akauntan juga memainkan peranan utama dalam memacu digitalisasi dan MIA terus berusaha untuk menggalakkan kepemimpinan dan transformasi digital melalui Rangka Tindakan Teknologi Digital MIA.
"Kami juga menghargai sokongan MIA terhadap tadbir urus cukai yang memberi fokus kepada menangani ketidakpatuhan dan ketidakcekapan sistemik.
"Menerusi langkah memperluas dasar cukai -- termasuk percukaian ekonomi bayangan, meningkatkan pematuhan cukai dan hal-hal pentadbiran -- ini akan meningkatkan pemungutan cukai yang sangat penting untuk membolehkan kerajaan memberikan lebih banyak bantuan semasa berlakunya krisis, dan juga untuk perbelanjaan pembangunan dan agenda pembaharuan jangka panjang negara," katanya.
Beliau berkata MIA juga menyokong bahawa pelaporan matlamat pembangunan lestari harus disertakan dalam pelaporan korporat dan ini amat bermakna kerana akauntan membawa kemahiran dan kepakaran yang unik dalam lingkungan wacana global dan penglibatan berkaitan kelestarian.
Secara khususnya, beliau berkata akauntan berkelayakan secara unik untuk mengukur dan menetapkan kos kesan iklim seperti pelepasan karbon dan gas rumah hijau, menyediakan jaminan bebas mengenai proses dan impak berterusan serta mengeluarkan laporan dan komunikasi mengenai kesan-kesan ini bagi menyokong penggubal keputusan dan mempengaruhi perubahan positif.
Persidangan tiga hari kali ini bertemakan 'Mengemudi Masa Depan Mampan dengan Kecekapan dan Daya Tahan' (Navigating a Sustainable Future with Agility and Resilience).
Ia bertujuan meningkatkan kemahiran akauntan dengan kecekapan yang relevan untuk masa depan bagi menyokong dan mendorong agenda kelestarian global dengan memanfaatkan kecekapan dan etika teras profesion untuk merangsangkan kesinambungan dan kelestarian perniagaan, penyelesaian iklim dan pemerkasaan digital. - DagangNews.com