Pembelian 30% kepentingan ERS Energy, pacu penglibatan Gamuda dalam ruang RE - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pembelian 30% kepentingan ERS Energy, pacu penglibatan Gamuda dalam ruang RE - MIDF Research

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 8 Dis – Perolehan 30% kepentingan dalam ERS Energy Sdn. Bhd. menjadi permulaan yang baik kepada Gamuda Bhd. untuk menceburi sektor tenaga boleh diperbaharui (RE).

 

MIDF Research berkata, cadangan itu juga bersesuaian dengan strategi kumpulan untuk meneroka perniagaan dengan sumber pendapatan berulang dalam bentuk infrastruktur hijau sejajar dengan matlamatnya untuk mengembangkan aset portfolio tenaga melebihi 800 MW dalam tempoh beberapa tahun akan datang.  

 

Katanya, berbanding mengembangkan segmen perniagaan baharu secara organik, Gamuda dapat mempercepatkan proses itu melalui pemindahan pengetahuan dan pemerolehan bakat dan entiti yang bersesuaian.

 

"Kami percaya akan terdapat lebih banyak pengambilalihan atau kerjasama oleh Gamuda dalam ruang tenaga hijau kerana ia memberi fokus untuk memperoleh konsesi RE dengan aliran tunai yang kukuh dan kadar pulangan dalaman (IRR) yang sihat," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Semalam, Gamuda mengumumkan cadangan untuk memperoleh 30% kepentingan dalam ERS Energy melalui langganan 4,285,714 saham biasa baharu dengan pertimbangan tunai berjumlah RM200 juta. 

 

Ini menyaksikan Gamuda menandatangani perjanjian langganan dan pemegangan saham dengan ERS Energy yang akan menyaksikan ia menjadi syarikat bersekutu 30% milik Gamuda.

 

Baca : Gamuda cadang beli 30% kepentingan ERS Energy pada harga RM200 juta

 

ERS Energy ketika ini merupakan rakan usaha sama Gamuda dalam NEDA Pekan Sdn. Bhd. untuk membangunkan loji tenaga solar 39MW (29.99 MWac) di bawah rangka kerja Pengaturan Penghantaran Dipertingkat (NEDA) Baharu.

 

Setelah menyelesaikan cadangan berkenaan, Gamuda juga akan secara efektif memegang 64% pegangan saham dalam NEDA Pekan.

 

Menurut MIDF Research, penyertaan dalam segmen infrastruktur hijau itu mencerminkan usaha Gamuda untuk membina perniagaan dengan pendapatan berulang selepas keluar daripada perniagaan konsesi tol.

 

"Ini berikutan penstrukturan semula empat konsesi lebuh raya utamanya iaitu Kesas, Sprint, Litrak dan SMART yang selepas pada 13 Oktober lalu setelah diambil alih oleh Amanat Lebuhraya Rakyat (ALR)," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap Gamuda dengan harga sasaran tidak berubah pada RM4.71 sesaham memandangkan syarikat pembinaan itu kekal sebagai pilihan utamanya bagi sektor pembinaan

 

Malah, katanya, Gamuda juga dilihat syarikat yang paling layak untuk memperoleh pakej CMC303 bersama rakan kerjasamanya, MMC Corp bagi projek MRT3. 

 

"Walaupun kami tidak menjangkakan projek MRT3 akan dibatalkan kerana ia adalah laluan penting untuk melengkapkan rangkaian rel di Lembah Klang, tetapi kami tidak menolak kemungkinan kelewatan yang mungkin disebabkan oleh semakan semula (kerajaan baharu)," katanya.

 

Setakat 10.08 pagi ini, harga saham Gamuda menokok 7 sen atau 1.8% kepada RM3.95 dengan 480,400 saham diniagakan. -DagangNews.com