Pembelian ekuiti pelabur asing semakin menyusut - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pembelian ekuiti pelabur asing semakin menyusut - MIDF Research

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Sept. - Pelabur asing terus membeli ekuiti tempatan buat minggu kelima berturut-turut, menurut laporan aliran dana MIDF Research. 

 

Bagaimanapun, bagi minggu berakhir 10 September, aliran masuk asing menyusut kepada RM433.16 juta berbanding minggu sebelumnya, RM786.42 juta.

 

"Apabila pasaran dibuka pada Isnin, pelabur asing membeli bersih ekuiti berjumlah RM72.18 juta. 

 

"Ini diikuti dengan pelabur runcit sebanyak RM11.1 juta manakala pelabur institusi tempatan menjual RM83.28 juta ekuiti tempatan," katanya dalam laporan itu hari ini. 

 

MIDF Research berkata, pelabur asing membeli ekuiti setiap hari minggu lalu kecuali Khamis dengan paling banyak direkodkan pada Rabu sebanyak RM207.19 juta manakala paling rendah pada Isnin, RM72.18 juta. 

 

Pada Khamis, mereka menjual bersih ekuiti tempatan sebanyak RM62.95 juta, tambahnya. 

 

Bagi pelabur runcit pula, mereka membeli bersih ekuiti setiap hari dengan pembelian paling banyak direkodkan pada Khamis sebanyak RM129.62 juta manakala paling rendah pada Isnin sebanyak RM11.1 juta.

 

Secara terkumpul, pelabur runcit membeli RM278.59 juta ekuiti sepanjang minggu lalu di Bursa Malaysia. 

 

"Untuk pelabur institusi tempatan, ia menyaksikan aliran keluar sebanyak RM711.96 juta yang mana mereka menjual ekuiti setiap hari sepanjang minggu lalu. 

 

"Mereka paling banyak menjual ekuiti pada Rabu berjumlah RM243.26 juta manakala terendah pada Khamis, RM66.88 juta," katanya. 

 

MIDF Research mendapati sejak awal 2021, pelabur runcit secara terkumpul merupakan satu-satunya pembeli bersih ekuiti tempatan sebanyak RM9.83 bilion. 

 

"Sebaliknya, pelabur institusi tempatan dan asing masing-masing menjual ekuiti sebanyak RM6.04 bilion dan RM3.79 bilion. 

 

"Bagaimanapun, jika dilihat, pelabur asing semakin mengurangkan jualan ekuiti mereka secara berperingkat-peringkat daripada RM6.01 bilion tahun ini sehingga 9 Ogos 2021," jelasnya.

 

Pada minggu lalu juga, FBM KLCI menyusut 0.83% untuk mengakhiri dagangan pada 1,575.97 mata manakala ringgit pula mengukuh 0.25% berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk ditutup kepada RM4.1355 pada Jumaat. - DagangNews.com