KUALA LUMPUR 11 Mac - RHB Investment menjangkakan pembelian tanah di Batang Berjuntai di Kuala Selangor, Selangor tidak memberi sebarang impak kepada pendapatan Scientex Bhd sekurang-kurangnya bagi tempoh tiga tahun akan datang.
Kumpulan itu menerusi Scientex Park (M) Sdn Bhd memeterai perjanjian jual beli (SPA) bersyarat dengan Metalplex Plantation Sdn Bhd untuk cadangan pengambilalihan tanah seluas 334.27 hektar bernilai RM335.68 juta bagi pembangunan hartanah bercampur di kawasan tersebut.
Katanya, pertimbangan pembelian sebanyak itu diterjemahkan kepada harga RM9 bagi setiap kaki persegi dan ia dilihat munasabah selepas mengambil kira keluasan tanah serta lokasinya yang bukan di kawasan tengah Selangor.
Harga itu juga lebih rendah berbanding perolehan sebelum ini yang berharga antara RM17 hingga RM19 bagi setiap kaki persegi bagi tanah seluas 67.58 hingga 101.57 hektar.
"Pada masa ini, kehadiran Scientex dalam sektor hartanah di Selangor masih kecil berbanding Johor dan Melaka.
"Cadangan pengambilalihan itu akan membantu meningkatkan kehadiran semasa kumpulan itu di Selangor kepada 586.79 hektar berbanding 268.3 hektar.
"Kami positif terhadap cadangan pengambilalihan itu akan meningkatkan lagi asas pendapatan Scientex di Selangor, dengan skala ekonomi yang lebih besar dicapai, memandangkan permintaan yang kukuh untuk rumah mampu milik," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu tidak membuat sebarang unjuran pendapatan kepada FY24 hingga FY26 kerana perjanjian itu hanya berlaku pada suku pertama 2025 manakala nilai pembangunan kasar (GDV) sebenar bagi projek masih belum diketahui.
"Kami mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) RM3.75 sesaham," katanya, - DagangNews.com