Pembentangan RMK-12 & Belanjawan 2022 ikut jadual susulan pengekalan Tengku Zafrul dan Mustafa | DagangNews Skip to main content

Pembentangan RMK-12 & Belanjawan 2022 ikut jadual susulan pengekalan Tengku Zafrul dan Mustafa

Tengku Zafrul dan Mustafa Mohamed.

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Belanjawan 2022 di Parlimen dilihat akan berlangsung mengikut jadual.

 

Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) berkata, hal itu susulan daripada pengekalan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

 

Pengekalan dua menteri tersebut turut memberi pandangan positif terhadap ekonomi negara.

 

Terdahulu, RMK-12 dijangka akan dibentangkan pada 20 September 2021, manakala Belanjawan 2022 pula akan dibentangkan pada 29 Oktober 2021.

 

"Di samping itu, persetujuan antara kerajaan dan pembangkang untuk bekerjasama dalam menangani pandemik dan pemulihan ekonomi akan dapat mengurangkan ketidakstabilan politik dan ketidaktentuan dasar, sekurang-kurangnya sehingga pilihan raya umum akan datang,” jelas Maybank IB seperti dilapor Bernama.

 

Mengulas lanjut berkaitan pelantikan kabinet baharu di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, Maybank IB memberitahu, pelantikan Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Kesihatan juga mendapat perhatian pasaran.

 

Jelas nota kajian itu, pengekalan Tengku Zafrul dan pelantikan Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Kesihatan dialu-alukan pasaran.

 

“Kami mengekalkan kedudukan pasaran seimbang, melalui campuran nilai dan saham pertumbuhan serta tumpuan hasil yang berterusan,” tambah nota kajian itu lagi.

 

Bagi rekod, Ismail Sabri membuat pengumuman Kabinet baharu pada Jumaat lepas yang menyaksikan pelantikan 31 menteri dan 38 timbalan menteri.

 

Kabinet baharu itu bagaimanapun tidak meletakkan jawatan Timbalan Perdana Menteri. - DagangNews.com