Pembentukan Modal Tetap Kasar 2023 catat pertumbuhan 5.5% kepada RM314.5 bilion - DOSM | DagangNews Skip to main content

Pembentukan Modal Tetap Kasar 2023 catat pertumbuhan 5.5% kepada RM314.5 bilion - DOSM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Julai - Pembentukan Modal Tetap Kasar (PMTK) Malaysia mencatatkan pertumbuhan 5.5% kepada RM314.5 bilion pada tahun lalu berbanding RM298.2 bilion pada tahun 2022, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Gabungan tekanan ekonomi global, penyesuaian dasar dalam negara, cabaran sektor yang khusus, dan keadaan kewangan telah memberi kesan signifikan terhadap pertumbuhan sederhana PMTK di Malaysia pada 2023.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, ia kekal sebagai komponen kedua terbesar dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan sumbangan 20.1% daripada jumlah ekonomi keseluruhan.

 

Beliau berkata, pada tahun lalu PMTK mencatatkan pertumbuhan 5.5% berbanding 6.8% pada tahun sebelumnya.

 

"Kesemua aktiviti utama menunjukkan peningkatan pada 2023, terutamanya pelaburan dalam aset tetap aktiviti perkhidmatan dan pembuatan. 

 

"Prestasi memberangsangkan dalam aktiviti perkhidmatan didorong oleh sub aktiviti pengangkutan & penyimpanan serta maklumat & komunikasi selain perdagangan borong dan runcit, yang meningkat masing-masing sebanyak 9.9% dan 8.9% pada 2023," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

dosm

 

Mohd Uzir berkata, aktiviti pembuatan berkembang sebanyak 5.5% (2022: 10%) pada 2023, pertumbuhan sederhana itu dipengaruhi oleh makanan, minuman dan tembakau sebanyak 8.9% (2022: 14.7%), produk elektrik, elektronik & optikal dan peralatan pengangkutan sebanyak 6.8% (2022: 9.3%) dan produk petroleum, kimia, getah dan plastik sebanyak 4.5 peratus (2022: 8.7%). 

 

Beliau berkata, PMTK bagi aktiviti perlombongan & pengkuarian meningkat sebanyak 2.9% pada 2023 berbanding dengan 1.8% tahun 2022 dengan aktiviti pertanian berkembang pada kadar yang lebih perlahan iaitu 0.4% (2022: 1.1%) pada tahun lalu. 

 

Katanya, pertumbuhan marginal ini dipengaruhi penyusutan dalam sub aktiviti getah dan kelapa sawit 5.4% (2022: -4.3%), manakala aktiviti pembinaan menyederhana kepada 2.7% berbanding 3.4% pada tahun sebelumnya. 

 

"Struktur merupakan penyumbang terbesar bagi PMTK mengikut jenis aset iaitu 50.1% (2022: 49.8%), diikuti oleh peralatan ICT dan lain-lain jentera & peralatan dengan sumbangan 28.6% (2022: 28.3%), sementara produk harta intelek menyumbang 12.8 peratus (2022: 13.3%). 

 

"PMTK mengikut sektor didominasi oleh sektor swasta (sumbangan 77.2%) bertumbuh sederhana 4.6% (2022: 7.2%), manakala sektor awam (sumbangan: 22.8%) berkembang kepada 8.6% berbanding 5.3% pada tahun sebelumnya," katanya.

 

Beliau berkata, aktiviti perkhidmatan merupakan penyumbang utama kepada PMTK sektor swasta yang menyumbang sebanyak  63.9% berbanding 63.6 peratus pada 2022, diikuti aktiviti pembuatan yang menyumbang 23% sementara aktiviti lain menyumbang 13.1%.

 

Katanya, PMTK sektor awam diterajui oleh aktiviti perkhidmatan, dengan sumbangan sebanyak 80.5%, diikuti oleh aktiviti perlombongan & pengkuarian (9.9%) dan pembuatan (8.8%). - DagangNews.com