Pembiayaan P2P penyelamat perusahaan sosial | DagangNews Skip to main content

Pembiayaan P2P penyelamat perusahaan sosial

P2P

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 3 Mac. - Kemunculan pembiayaan digital seperti pembiayaan antara rakan setara (P2P) dilihat menjadi penyelamat kepada perusahaan sosial dalam mendapatkan akses pembiayaan yang lebih cepat dan meluas.

 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Funding Societies Malaysia, Wong Kah Meng berkata, pembiayaan tersebut dapat membantu mereka mengatasi cabaran semasa yang dibawa oleh pandemik COVID-19.

 

"Perusahaan sosial memainkan peranan yang unik dalam memacu kesejahteraan ekonomi yang lebih saksama yang menjadi fokus mereka.

 

"Walau mereka sama-sama membantu menjana ekonomi yang lebih pelbagai dan saksama dalam menangani isu-isu sosio-ekonomi, rata-rata perusahaan sosial masih terpinggir dari mendapatkan bantuan kewangan. 

 

"Sebagai platform yang dipacu secara digital, kami berada di kedudukan yang tepat untuk berkhidmat kepada sektor PMKS (perusahaan mikro, kecil dan sederhana) yang pelbagai ini, dengan memanfaatkan struktur kos operasi yang lebih rendah, seterusnya berupaya membantu PMKS berkelayakan kredit yang dipinggirkan oleh institusi kewangan tradisional,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Wong Kah Meng
Wong Kah Meng 

 

Dalam tinjauan yang dilakukan pada tahun 2020 yang melibatkan PMKS dan perusahaan sosial, hampir separuh responden menyatakan bahawa perniagaan mereka hanya boleh bertahan antara tiga hingga enam bulan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

Meskipun PKP telah telah dilonggarkan sejak hujung tahun lepas, tetapi masa depan PMKS ini masih tidak menentu terutamanya dengan PKP 2.0.

 

Tampil sebagai platform pembiayaan digital PKS terkemuka di Asia Tenggara, Funding Societies telah menyediakan pembiayaan berfokuskan perusahaan sosial menerusi Skim Perusahaan Sosial Dana Malaysia Co-Investment (MyCIF). 

 

Beliau berkata, ia sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk memanfaatkan kerjasama sektor swasta dan awam dalam meneroka mekanisma untuk memperluas akses pembiayaan kepada perusahaan sosial.

 

Melalui skim MyCIF, perusahaan sosial yang telah berjaya diakreditasi oleh Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) di bawah program Akreditasi Perusahaan Sosial (SE.A), semua tahap berupaya menikmati pengecualian sehingga 50% kos pembiayaan untuk permohonan perniagaan dengan Funding Societies. - DagangNews.com