SERI ISKANDAR 8 Sept - Sebanyak 1,200 peluang pekerjaan bakal diwujudkan apabila kilang baharu syarikat pembuat komponen elektrik dan elektronik, XP Power Pte Ltd. bernilai RM300 juta di sini siap kelak.
Pembinaan kilang di bawah anak syarikatnya, XP Power (M) Sdn Bhd di kawasan seluas 8.5 hektar di Taman Perindustrian Farmaseutikal Seri Iskandar akan bermula bulan ini dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2024.
Fasa pertama projek yang dikenali sebagai Asia III itu bakal menjadikan ia sebagai pelaburan terbesar XP Power di rantau ini.
Kehadiran syarikat antarabangsa yang memiliki reputasi besar ini juga menunjukkan Perak kekal kompetatif dalam menarik pelaburan asing bagi mengukuhkan proses pemulihan ekonomi pasca COVID-19.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Lim Bee Vian berkata, kestabilan dan fleksibiliti selain polisi pelaburan negara menyaksikan syarikat multinasional seperti XP Power datang ke sini.
Katanya, kehadiran syarikat tersebut membuktikan keyakinan pada ekosistem dalam industri elektrikal dan elektronik yang melibatkan pelbagai pemain dalam rantaiannya.
"Pelaburan XP Power di Malaysia khususnya di Perak juga memperkukuhkan lagi industri sedia ada.
"Pada masa sama, kita turut mengalu-alukan kehadiran lebih banyak industri sama untuk menjadikan Malaysia sebagai hub serantau," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar pada majlis pecah tanah Projek Pembangunan Fasiliti Kilang Elektrik dan Elektronik XP Power di Taman Perindustrian Farmaseutikal, Bandar Seri Iskandar di sini hari ini.
Majlis pecah tanah tersebut disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad. Hadir sama Ketua Pegawai Kewangan XP Power, Oskar Zahn dan Ketua Pegawai Eksekutif InvestPerak, Izran Abdullah.
Operasi XP Power ke Perak juga akan menyediakan ruang yang luas kepada proses pemindahan teknologi dan pengetahuan.
Selain itu, XP Power juga berhasrat menjalin kerjasama dengan institusi kemahiran dan pengajian tinggi tempatan.
Ini juga bagi mendapatkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang dilatih di pusat tersebut. - DagangNews.com