Pembukaan ekonomi buktikan keputusan Muhyiddin betul (BAHAGIAN 3) | DagangNews Skip to main content

Pembukaan ekonomi buktikan keputusan Muhyiddin betul (BAHAGIAN 3)

BAHAGIAN TIGA

 

SEBAGAI bekas Ketua Setiausaha Sulit Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr. Marzuki Mohamad (DDMM) memikul tugas dan amanah mencabar lebih-lebih lagi dalam tempoh pandemik COVID-19.

 

Ikuti wawancara eksklusif antara Marzuki dengan portal ikatan.my bagi mendapatkan pandangan dan pengalaman dalam kerajaan khususnya membantu Muhyiddin dalam menangani isu-isu negara, ekonomi dan COVID-19.

 

Transkrip wawancara ini disiarkan semula oleh DagangNews.com dalam tiga bahagian:

 

Dr. Marzuki Mohamad : We must have an exit plan (kita mesti ada jalan keluar) dari masalah pandemik. Exit plan ini telah dirancang lebih awal.

 

Kerana itu kita ada Pelan Pemulihan Negara (PPN). Kita sudah letakkan fasa-fasa peralihan, nilai ambang dan sebagainya. Tengok dari segi kapasiti katil hospital, tengok dari segi jumlah kes harian, death rate (kadar kematian), immunisation rate (kadar imunisasi) dan lain-lain. Kerana itu, hari ini kita telah dapat lihat hasil daripada strategi kita mempercepatkan proses vaksinasi.

 

Awalnya kita menjangkakan sasaran vaksinasi 80 peratus populasi dewasa akan dicapai pada suku pertama tahun hadapan. Tetapi oleh kerana kita lihat bahawa masalah ini menjadi semakin teruk, dengan kes meningkat dengan begitu banyak, kerajaan memutuskan supaya kita mempercepatkan proses vaksinasi.

 

Jadi hendak mempercepatkan proses vaksinasi ini ada dua aspek. Pertama, kita kena pastikan bekalan yang mencukupi. Kerana bekalan ini bukan kita beli hari ini sejuta, esok sampai sejuta. Kita beli sekitar 80 juta dos vaksin dengan jadual penghantaran yang telah ditetapkan. Dalam 3 bulan ke hadapan, 6 bulan ke hadapan baru sampai.

 

Jadi, kerana itu Muhyiddin sebagai PM pada ketika itu membuat keputusan. Pertamanya, pada peringkat awal ada COVAX Facility di bawah United Nation (UN) yang membekalkan vaksin. Kalau kita ingat di peringkat awal dahulu vaksin tiada lagi. Tetapi fasiliti ini telah memulakan usaha untuk mengeluarkan vaksin dan negara kita mesti bayar dahulu wang pendahuluan untuk buat tempahan. Vaksin tiada lagi tetapi bayaran pendahuluan mesti dibuat.

 

 

marzuki
                      Dr Marzuki Mohamad

 

 

Kalau kita tengok dari segi kebiasaannya, kita tiadak buat perkara seperti itu. Kita hendak beli barang, barang itu mesti ada dahulu, baru kita beli. Tetapi kalau kita tunggu barang itu ada dahulu baru hendak beli, sedangkan barang itu adalah hot item (barang laris), dan kita lambat membuat pesanan, penghantarannya boleh tertangguh sehingga empat, lima atau enam bulan. Akan berlaku keadaan di mana kita sepatutnya sudah boleh mulakan program vaksinasi tetapi kita tidak boleh mula lagi sebab vaksin tidak sampai.

 

Jadi, Muhyiddin buat keputusan untuk bayar wang pendahuluan RM400 juta walaupun vaksin belum ada.

 

Tawakkal. Kenapa? Kerana ini soal hendak menjaga nyawa rakyat. Jadi, Pfizer kita beli, Sinovac kita beli, Sinopharm kita beli. Whatever available (apa yang tersedia) kita tempah, kita beli.

 

Keduanya, dalam proses ini kadang-kadang jadual penghantaran terganggu. Sedangkan kita ada jadual vaksinasi sehingga bulan berapa kita mesti capai sasaran 200 ribu suntikan sebulan, 500 ribu suntikan sebulan dan sebagainya. Kalau bekalan vaksin tidak sampai kita hendak cucuk macam mana? Pusat Pemberian Vaksin ada, kakitangan ada, tetapi vaksin tidak ada.

 

Jadi perkara ini dibincang dalam Kabinet. Kadang-kadang dibawa Kertas Jemaah Menteri untuk memohon kelulusan bagi pembelian vaksin tambahan. Tengok mana yang ada. Pfizer lambat sampai, Sinovac ada, beli Sinovac. Ini untuk memastikan supaya jadual vaksinasi tidak terganggu. Jadi kerana itu, daripada asalnya kita hendak mencapai sasaran herd immunity (imuniti kelompok) pada suku pertama tahun hadapan, kini kita boleh capai lebih awal.

 

Sektor-sektor ekonomi boleh dibuka lebih awal. Sektor pelancongan misalnya, dibuat keputusan dahulu supaya dipercepatkan proses vaksinasi di pulau-pulau pelancongan. Di Langkawi dipercepatkan. Jadi orang Langkawi dapat vaksin lebih awal. Begitu juga di Pulau Redang, Pulau Pangkor, Pulau Perhentian, supaya sampai suatu ketika kita boleh buka sektor pelancongan, orang boleh pergi melancong dengan selamat.

 

 

marzuki
PELANCONG tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi selepas PKP dilonggarkan. - REUTERS

 

 

Pada 16 September lalu, Pulau Langkawi telah dibuka kepada pelancong. Saya diberitahu ketibaan pelancong sekitar 5,000 orang. Hotel dan kedai sudah mula dibuka walaupun belum mencapai 100 peratus. Dijangkakan sehingga bulan Disember tahun ini, 400,000 pelancong akan tiba di Langkawi sahaja. Ini bermakna kehidupan rakyat sudah mula bertambah baik dan Insya-Allah kegiatan ekonomi akan bertambah rancak,

 

Penduduk setempat pun berasa lebih yakin untuk menerima pelancong kerana mereka telah dapat vaksin lengkap. Mereka boleh berniaga, bawa teksi dan bekerja. Pelancong yang datang pun mesti buat ujian saringan Covid-19. Kalau negatif boleh pergi. Kalau positif, mesti kuarantin.

 

Kita lihat proses vaksinasi di Malaysia antara yang terbaik di dunia. Hasilnya, sektor-sektor ekonomi, keagamaan dan lain-lain sudah boleh dibuka. Dulu masjid pun kita tidak boleh pergi. Sekarang sudah dibuka walaupun dengan jumlah jemaah yang terhad. Sekolah pun akan dibuka dan sekarang ini sedang dilaksanakan vaksinasi bagi mereka yang berumur bawah 18 tahun dan kanak-kanak yang akan bersekolah. – DagangNews.com

 

BAHAGIAN PERTAMA WAWANCARA DI SINI

 

BAHAGIAN KEDUA DI SINI