KUALA LUMPUR 31 Mei - Kementerian Kewangan (MoF) menjelaskan pembukaan berterusan sektor ekonomi seperti diumumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sangat penting untuk mencegah kegagalan rantaian bekalan bagi produk dan perkhidmatan yang perlu, bagi menjaga kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, meskipun terdapat keperluan untuk mengawal pandemik COVID-19 secara efisien, tetapi ia juga penting untuk mengelakkan gangguan terhadap rantaian nilai sektor pembuatan yang mampu mengancam pengeluaran barangan dan perkhidmatan.
Ini membabitkan industri-industri penting seperti makanan, penjagaan kesihatan/peralatan perubatan, farmaseutikal, sabun dan bahan pencuci (terutamanya dalam konteks menjaga kebersihan semasa wabak ini) dan telekomunikasi.
"Dengan menjadikan PKP 1.0 sebagai pengajaran, kerajaan juga akan membenarkan rantaian nilai barang-barang keperluan, seperti pembungkusan dan pelabelan, untuk beroperasi.
"Rantaian bekalan adalah ekosistem yang kompleks terdiri daripada sumber manusia, proses,operasi, teknologi dan maklumat yang menghubungkan pengeluar dan pembeli melalui rangkaian entiti dan sumber yang berkaitan.
"Untuk berfungsi dengan lancar, semua elemen di dalam ekosistem ini perlu bergerak seiring untuk memastikan kecekapan," katanya dalam kenyataan hari ini.
MKN baru-baru ini mengumumkan pembukaan sektor ekonomi ketika PKP 3.0 merangkumi sektor strategik seperti industri aeroangkasa, minyak dan gas, pembuatan serta elektrikal dan Elektronik (E&E).
Pembukaan sektor E&E, sebagai contoh, adalah pengiktirafan bahawa ribuan komponen yang dihasilkan oleh sektor ini membolehkan operasi berterusan infrastruktur kritikal di seluruh dunia.
Antara lain membabitkan peralatan penjagaan kesihatan dan perubatan, sistem bekalan air dan grid tenaga, serta rangkaian pengangkutan dan telekomunikasi.
Malah, menurut MoF, komponen E&E yang dihasilkan di Malaysia juga telah memudahkan e-dagang dan pekerjaan jarak jauh dalam norma baharu.
"Malaysia juga merupakan pemain utama dalam rantaian nilai global E&E yang mana sektor ini menyumbang 40% (atau RM386 bilion) kepada eksport tahunan Malaysia, dan kira-kira 7% perdagangan semikonduktor global.
"Sebagai contoh, Malaysia memainkan peranan yang kritikal sebagai pengeluar tunggal substrat aluminium untuk semua pemacu cakera keras yang dikeluarkan sebuah kilang di Johor dan kemudiannya akan dibekalkan melalui rantaian bekalan global syarikat tersebut," katanya.
Kementerian itu berkata, pada 2020, sekitar RM15 bilion pelaburan baharu di sektor E&E telah diluluskan, yang
akan mewujudkan 20,000 pekerjaan untuk rakyat Malaysia.
Oleh itu, katanya, sebarang penutupan walaupun untuk jangka masa pendek, bukan sahaja akan menjejaskan bekalan keperluan industri di Malaysia, tetapi juga di seluruh dunia, terutama dalam keadaan pandemik yang mencabar.
"Ini juga akan memberi kesan jangka panjang di mana perdagangan dan pelaburan beralih dari Malaysia, dan
menjejaskan daya saing Malaysia dalam rantaian nilai global.
"Kita sudah pun mengalaminya semasa PKP 1.0, apabila pelbagai pengeluar Malaysia melaporkan bahawa pesanan mereka telah dialihkan ke negara pengeluar lain termasuk China," jelasnya.
MoF berkata, bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19, kerajaan melalui pemantauan dan penguatkuasaan yang lebih rapi, akan memastikan kilang E&E Malaysia mematuhi SOP dengan tegas, dengan had kehadiran fizikal di tempat kerja sehingga 60%.
Secara amnya, sektor perkhidmatan yang menyumbang 57.3% dari KDNK pada suku pertama 2021 tidak dibenarkan untuk beroperasi.
"Walaupun Kerajaan secara umumnya membenarkan pelbagai sektor untuk beroperasi, banyak juga yang telah ditutup.
"Sebagai contoh, di sektor runcit, hanya 11 kategori runcit penting, seperti pasar raya, dibenarkan beroperasi, sementara lebih daripada 20 kategori lain termasuk kedai elektrik, barang kemas, pendandan rambut, bilik pameran kereta kini tidak akan dibenarkan beroperasi," katanya.
Jelas kementerian itu lagi, dalam sektor pembinaan pula, hanya pembinaan, penyelenggaraan dan pembaikan yang kritikal sahaja dibenarkan untuk beroperasi.
Langkah itu, tegasnya, sejajar dengan fokus kerajaan untuk mengurangkan jumlah serta pergerakan orang ramai di tempat-tempat awam. - DagangNews.com