Pembukaan sempadan 1 April bakal beri manfaat kepada Datasonic | DagangNews Skip to main content

Pembukaan sempadan 1 April bakal beri manfaat kepada Datasonic

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 30 Mac – Pembukaan sempadan negara bermula 1 April ini dijangka memberi manfaat kepada Datasonic Group Berhad sebagai penyedia dokumen keselamatan berbentuk pasport dan kad pengenalan.

 

Pengarah Urusan Datasonic, Wan Zalizan Wan Jusoh berkata, dianggarkan kira-kira empat juta pasport Malaysia telah tamat tempoh.

 

‘’Permintaan yang berterusan untuk perjalanan, sama ada untuk perniagaan atau percutian, akan meningkatkan bilangan pembaharuan pasport dan pengeluaran dokumen perjalanan baharu,’’ katanya kepada DagangNews.com.

 

Pada November lalu, penyedia perkhidmatan e-kerajaan itu dianugerahkan lanjutan kontrak oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi pembekalan cip pasport Malaysia, dokumen pasport dan muka surat biodata polikarbonat, untuk tempoh 24 bulan mulai 1 Disember 2021 hingga 30 November 2023.

 

Baki nilai kontrak dianggarkan berjumlah RM280 juta.

 

Datasonic juga telah memperoleh kontrak RM50.12 juta daripada KDN untuk pembekalan kad dan bahan guna MyKad, MyTentera dan MyPoca kepada Jabatan Pendaftaran Negara untuk tempoh 12 bulan dari 15 Feb 2022 hingga 14 Feb 2023.


 

wan zalizan wan jusoh
                                        Wan Zalizan Wan Jusoh

 


Pada 24 Mac lalu, Datasonic Group Bhd memperoleh kontrak RM22.5 juta untuk mereka bentuk, mencetak, membekal dan menghantar pelbagai dokumen keselamatan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk tempoh 36 bulan mulai 1 Mei.

 

Kontrak RM22.5 juta itu menandakan kontrak kedua yang diperoleh Datasonic pada 2022, dengan yang pertama ialah kontrak RM50.12 juta untuk membekalkan JPN dengan kad mentah dan bahan habis pakai MyKad, MyTentera dan MyPOCA yang diumumkan pada 17 Feb.

 

“Permintaan untuk pasport baharu sudah pasti meningkat sekarang berbanding September tahun lalu. Jika kita bandingkan permintaan pasport baharu pada Februari (bulan lepas) berbanding September tahun lepas, ia telah meningkat lebih 200%.

 

“Sebelum wabak itu, kami membekalkan sekitar 200,000 pasport sebulan kepada KDN. Tetapi memandangkan kebanyakan bahagian dunia telah dikurung pada bahagian awal wabak itu, permintaan untuk pasport jatuh 85% ketika itu.

 

“Tetapi apabila kadar vaksinasi kami meningkat dan kerajaan mula membenarkan perjalanan riadah dan umrah, kami telah melihat permintaan untuk pasport meningkat lima kali ganda,” tambahnya. – DagangNews.com