KUALA LUMPUR 15 Sept – Para pemegang saham Bintai Kinden Corp. Bhd. dalam mesyuarat agung tahunan ke-28 hari ini menyuarakan kebimbangan mereka mengenai tunggakan berjumlah RM42 juta yang terhutang oleh Kolej Teknologi Islam Melaka Bhd. (KTIMB) kepada anak syarikat milik penuh Bintai Kinden, Optimal Property Management Sdn. Bhd. (OPM).
Ia membabitkan pembinaan dan operasi penginapan pelajar di Kolej Universiti Islam Melaka yang kini dikenali sebagai Universiti Melaka (UNIMEL).
Menurut Bintai Kinden, OPM telah menyiapkan pembinaan penginapan pelajar UNIMEL pada 2019.
Katanya, KTIMB telah menganugerahkan konsesi 25 tahun pada 2016 kepada OPM untuk membina dan mengendalikan penginapan pelajar di KUIM ketika itu.
"Tetapi sehingga kini, OPM hanya menerima sebahagian daripada yuran konsesi kerana mengendalikan penginapan pelajar dan telah dipaksa menggunakan dana sendiri," katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca : Bintai Kinden rayu kerajaan Melaka jelaskan kos RM42 juta bina bangunan UNIMEL
Sementara itu, dalam AGM yang diadakan secara maya itu, para pemegang saham telah meluluskan semua resolusi termasuk penyata kewangan teraudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022 (FY22) serta memilih semula Ooi Jit Huat dan Mohd Shakir Shahimi, pengarah yang akan bersara menurut Klausa 8 perlembagaan syarikat.
Pengarah yang bersara menurut Fasal 113 perlembagaan Syarikat, Mohd Idzwan Izuddin Datuk Ab Rahman dan Ku Chong Hong, yang, kerana layak, telah menawarkan diri mereka untuk pemilihan semula, juga dipilih semula.
Resolusi untuk memberi kuasa kepada lembaga pengarah bagi memperuntukkan dan menerbitkan saham yang tidak melebihi 10% daripada jumlah saham terbitan syarikat pada masa terbitan berkuat kuasa sehingga tamat AGM berikutnya juga telah diluluskan oleh pemegang saham.
Di samping itu, pemegang saham juga mengetepikan hak pendahuluan berkanun untuk ditawarkan saham Bintai Kinden dengan kedudukan yang sama dengan saham terbitan sedia ada mengikut Seksyen 85 Akta Syarikat, 2016 dan dengan Fasal 52 perlembagaan syarikat.
Tetuan HLB Ler Lum Chew PLT juga dilantik sebagai juruaudit Bintai Kinden dan pemegang saham memberi kuasa kepada pengarah untuk menetapkan imbuhan mereka.
Resolusi lain yang diluluskan termasuk pembayaran yuran pengarah berjumlah RM108,000 untuk FY22 dan meluluskan faedah lain pengarah yang perlu dibayar sehingga jumlah RM10,000 dari 16 September 2022 kepada AGM yang berikutnya.
Pengarah Eksekutif Bintai Kinden, Azri Azerai merakamkan penghargaan kepada para pemegang saham atas sokongan dan keyakinan berterusan mereka terhadap kumpulan.
Katanya, kumpulan akan berusaha untuk memastikan kepentingan mereka serta kepentingan pihak berkepentingan lain terpelihara dalam usaha mengembangkan perniagaan.
“Walaupun prospek ekonomi global semakin mencabar, kami akan terus memanfaatkan kepakaran kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E) teras kami untuk mencari peluang di Malaysia dan di seluruh rantau ini.
"Kami dalam beberapa bulan kebelakangan ini turut meneroka pasaran Timur Tengah, sebuah wilayah yang mempunyai banyak potensi memandangkan populasi yang semakin meningkat dan aktiviti ekonomi yang semakin berkembang," katanya.
Nilai kontrak Bintai Kinden meliputi projek M&E dan minyak dan gas (O&G) kini berjumlah RM120.43 juta.
Syarikat baru-baru ini telah diberikan kelulusan untuk lesen oleh Petronas di bawah Kod Kategori Kerja dan Peralatan Piawaian, untuk membida projek O&G yang berada di bawah syarikat minyak negara itu. - DagangNews.com