Pemegang saham minoriti UMW disaran ‘terima tawaran’ MGO pada RM5 sesaham daripada Sime Darby – Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Pemegang saham minoriti UMW disaran ‘terima tawaran’ MGO pada RM5 sesaham daripada Sime Darby – Kenanga Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Kenanga Research menyarankan pemegang saham minoriti UMW Holdings Berhad ‘terima tawaran’ RM5 sesaham terhadap saham memandangkan ia berpendapat bahawa harga tawaran am mandatori (MGO) Sime Darby Berhad itu adalah harga jualan saham yang baik.

 

Sime Darby melanjutkan MGO untuk baki saham UMW yang tidak dimilikinya daripada pemegang saham minoriti secara tunai.

 

Ini adalah berikutan cadangan Sime Darby untuk mengambil alih 61.18% kepentingan dalam UMW daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Amanahraya Trustees Berhad (ART) pada harga RM3.57 bilion atau RM5.00 sesaham secara tunai.

 

 

BACA JUGA: Sime Darby ambil alih 61.2% pegangan dalam UMW berharga RM3.57 bilion atau RM5 sesaham, bentuk gergasi permotoran baharu

 

 

Dengan keseluruhan urus niaga berjumlah RM5.84 bilion, cadangan pengambilalihan dan MGO masing-masing dijangka selesai pada suku keempat tahun ini dan suku pertama tahun depan.

 

Berdasarkan keuntungan bersih UMW bagi FY24 sebanyak RM442.4 juta, Kenanga Research berpendapat bahawa cadangan pengambilalihan tersebut memberi penilaian premium dengan nisbah harga-pendapatan (PER) dan nisbah harga-nilai buku masing-masing mencapai 13.2 kali dan 1.2 kali.

 

“Perjanjian ini menawarkan pemegang saham peluang untuk keluar dari UMW kerana peralihan besar kepada ruang kenderaan elektrik (EV) boleh mencetuskan perang harga yang boleh menjejaskan marginnya dalam jangka panjang, di mana persekitaran operasi semasa yang mencabar di China.

 

“Tambahan pula, UMW Toyota dan Perodua tidak mempunyai tawaran EV mampu milik untuk mencabar kemasukan kereta EV China serta peneraju EV, Tesla.

 

“Oleh itu, kami mengesyorkan pemegang saham untuk menerima tawaran tersebut,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Kenanga Research berkata risiko kepada saranannya termasuk: (i) kegagalan cadangan penswastaan UMW yang boleh mencetuskan penjualan harga sahamnya, (ii) pengguna mengurangkan perbelanjaan bukan keperluan (terutamanya barangan dengan perbelanjaan besar seperti kereta baharu) berikutan inflasi yang tinggi, (iii) gangguan rantaian bekalan, (iv) kos input yang meningkat, dan (v) kemelesetan global yang menjejaskan permintaan untuk peralatan berat.

 

Pada waktu penulisan, saham UMW telah menokok 16 sen atau 3.5% kepada RM4.78 dengan permodalan pasaran berjumlah RM5.58 bilion. Semenjak awal tahun ini, saham UMW telah meningkat 38.6% setakat ini. - DagangNews.com