Pemegang saham setuju cadangan jadikan SMRT Holdings sebagai penyedia penyelesaian IoT | DagangNews Skip to main content

Pemegang saham setuju cadangan jadikan SMRT Holdings sebagai penyedia penyelesaian IoT

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 April - Pemegang saham SMRT Holdings Berhad bersetuju dengan beberapa cadangan untuk menjadikan kumpulan itu sebagai penyedia penyelesaian Internet Kebendaan(IoT).

 

Menerusi Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang diadakan hari ini, mereka bersetuju dengan cadangan pengambilalihan baki  36% kepentingan ekuiti dalam N'osairis Technology Solutions Sdn. Bhd. (NTS) daripada Permata Kirana Sdn. Bhd. (PKSB) bernilai RM72 juta menerusi pembelian tunai.

 

Pemegang saham kumpulan itu juga bersetuju dengan cadangan pelupusan 100% kepentingan ekuiti dalam SMR Education Sdn. Bhd. (SMRE) kepada Special Flagship Holdings Sdn. Bhd. (SFHSB) dengan nilai RM49.5 juta dan akan dipenuhi sepenuhnya melalui tunai.

 

Mereka juga bersetuju dengan cadangan penubuhan pelan geran saham sehingga 20% daripada jumlah saham terbitan SMRT (tidak termasuk saham perbendaharaan, jika ada) untuk pengarah dan pekerja SMRT dan anak syarikatnya.

 

Pengarah Urusan Kumpulan SMRT, Maha Palan berkata, pengambilalihan baki pegangan dalam NTS memberikan kumpulan itu lebih fleksibiliti dalam perancangan dan pelaksanaan strategik selain membolehkan mereka memanfaatkan sepenuhnya pertumbuhan dan prospek NTS yang teguh.

 

Beliau berkata, ini akan meningkatkan potensi pendapatan mereka pada masa hadapan dan meningkatkan nilai untuk pemegang saham.

 

"Sejak pengambilalihan kepentingan awal dalam NTS pada 2016, ia telah berkembang pada kadar yang memberangsangkan dan ini amat sesuai memandangkan ia adalah unggul untuk pertumbuhan selanjutnya.

 

"Kami akan terus bekerja untuk mengekalkan momentum yang sihat sambil merebut peluang di Malaysia dan di luar negara.

 

"Secara keseluruhannya, kami yakin dengan prospek kumpulan disokong oleh faktor-faktor yang disebutkan di atas dan rancangan pertumbuhan kami yang jelas disokong oleh kedudukan kewangan yang lebih kukuh," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Cadangan itu dijangka siap pada suku kedua 2023 kecuali sebarang keadaan yang tidak dijangka dan tertakluk kepada semua kelulusan yang diperlukan. - DagangNews.com