Pemerkasa pacu prestasi peruncitan, pemborong & pengedaran | DagangNews Skip to main content

Pemerkasa pacu prestasi peruncitan, pemborong & pengedaran

Pemerkasa

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 19 Mac. - Pakej rangsangan terbaharu iaitu Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) yang diumumkan Perdana Menteri kelmarin disambut baik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

 

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, suntikan fiskal itu pastinya dapat meningkatkan prestasi keseluruhan ekosistem perdagangan domestik di bawah seliaan KPDNHEP terutama kepada peniaga peruncitan, pemborong dan pengedaran.

 

"KPDNHEP amat berterima kasih kepada Perdana Menteri atas pengiktirafan terhadap Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) iaitu sebuah agensi KPDNHEP dalam Inisiatif Kesembilan bagi Mengurangkan Beban Syarikat yang menghadapi masalah kewangan, di mana SSM telah menaikkan nilai ambangan keterhutangan daripada RM10,000 kepada RM50,000.

 

"Inisiatif ini telah menunjukkan penurunan yang ketara dalam jumlah Petisyen Penggulungan yang diserahsimpan ke SSM bagi tempoh April hingga Disember 2020 berbanding tempoh yang sama pada 2019 dan 2018.

 

"Sepanjang tahun 2018, sebanyak 2,735 petisyen penggulungan telah diserahsimpan manakala sebanyak 3,545 pada tahun 2019 dan menurun mendadak kepada 1,595 petisyen pada tahun 2020," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Alexander Nanta Linggi
Alexander Nanta Linggi

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, kementerian juga akan terus menyokong Inisitif Ketiga iaitu penguatkuasaan perundangan yang ketat dan telus bagi mengawal penularan pandemik COVID-19.

 

Ujarnya, sehingga 13 Mei 2021, Penguat Kuasa KPDNHEP telah melaksanakan pemeriksaan di 434,448 premis perniagaan di seluruh negara dengan pematuhan yang membanggakan pada kadar 98.04%.

 

Dalam pada itu, KPDNHEP turut menghargai  keprihatinan kerajaan yang menggalakkan para majikan membuat ujian pengesanan COVID-19 untuk pekerja dan membenarkan potongan cukai tambahan ke atas kos ujian tersebut.

 

Tambah beliau, Geran Khas Prihatin 3.0 dan Kemudahan Mikro Kredit dalam Inisiatif Kelima dan Keenam pastinya para peniaga PKS yang terlibat dalam industri pembuatan dan pengedaran akan menyambut baik dan akan meningkatkan perniagaan mereka sama ada jualan terus mahupun atas talian.

 

"KPDNHEP turut menyambut baik peruntukan Pemerkasa bernilai RM700 juta bagi melanjutkan Program Subsidi Upah 3.0 selama tiga bulan lagi dan ini tentunya melegakan industri borong dan runcit seperti yang disasarkan. 

 

"Pemberian diskaun khas bil elektrik sebanyak 10% peratus yang dilanjutkan selama tiga bulan sehingga 30 Jun 2021 pastinya amat membantu kedua-dua industri ini.

 

"Secara keseluruhannya, KPDNHEP yakin Pemerkasa merupakan program yang akan melengkapkan program serta inisiatif yang sedia ada seperti Penjana dan Prihatin, dan ini akan mempercepatkan lagi pemulihan ekonomi negara di semua sektor dan industri," katanya. - DagangNews.com