MELIHAT semula inisiatif-inisiatif di bawah Pemerkasa Plus, kebanyakan bantuan yang diberikan disasarkan buat rakyat terjejas dan juga PKS seperti moratorium selama tiga bulan selain Program Subsidi Upah (PSU) yang dilanjutkan selama sebulan lagi. - Gambar Reuters
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 8 Jun - Program bantuan yang diberikan kepada perniagaan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) disarankan agar bersesuaian bagi tujuan jangka panjang.
Itu cadangan penganalisis ekonomi dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid selepas melihat inisiatif-inisiatif di bawah Pemerkasa Plus yang dijangka memberi impak jangka pendek buat golongan berkenaan.
“(Pertama) Pelan jangka panjang untuk membantu PKS mesti diberi, bantuan bukan saja dari kerajaan tetapi dipanjangkan (sehingga) ke (peringkat) syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melalui program mentor/mentee yang bukan sahaja (berbentuk) bantuan kewangan, tetapi latihan dan peningkatan ilmu, (seterusnya) rebat cukai boleh diberi kepada GLC ini.
“Selain itu, banyak syarikat permulaan PKS yang muncul apabila pandemik COVID-19 (menular), pastinya ‘startup’ tidak layak untuk bantuan kewangan yang memerlukan penyata kewangan bagi tempoh setahun dan sebagainya.
“(Maka), ‘crowdfunding’ secara telus mesti juga dibentuk melalui agensi kerajaan untuk mendanakan startup ini tanpa aturan-aturan yang terlalu ketat dan ‘rigid’,” saran Aimi Zulhazmi ketika dihubungi DagangNews.com hari ini.
Melihat semula inisiatif-inisiatif di bawah Pemerkasa Plus, kebanyakan bantuan yang diberikan disasarkan buat rakyat terjejas dan juga PKS seperti moratorium selama tiga bulan selain Program Subsidi Upah (PSU) yang dilanjutkan selama sebulan lagi.
Baca : Inisiatif Pemerkasa Plus jamin rakyat ‘cukup belanja'
Bagi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Pemerkasa Plus menjadi penyelamat kepada rantaian ekonomi khususnya sektor pelancongan, seni dan kebudayaan yang membolehkan penggiat industri meneruskan kelangsungan perniagaan sekaligus mengekalkan tenaga kerja di sektor masing-masing.
Baca : Pemerkasa Plus panjangkan ‘hayat’ industri pelancongan
Menilai kepada pandangan penganalisis lain serta nota kajian oleh firma-firma penyelidikan, inisiatif-inisiatif yang diumumkan mungkin dilanjutkan sekiranya krisis pandemik COVID-19 masih lagi mencabar.
Di sebalik cadangan yang diberikan Aimi Zulhazmi, beliau menekankan supaya bantuan mestilah diberi secara bijak dan bersasar serta mengikut kategori industri yang terkesan.
Bagi memberikan gambaran tersebut, beliau menggariskan semua industri dan sektor PKS mengikut empat kategori.
Pertama, industri yang positif seperti e-perdagangan, logistik, kargo, kurier, farmasi, pembuatan sarung tangan, elektrik dan elektronik.
Kedua, industri yang kurang jualan antara 10% hingga 30% seperti makanan dan minuman, runcit, pertanian dan stesen minyak.
Ketiga, industri yang kurang jualan antara 50% hingga 60% seperti hiburan, sukan, katering dan pengangkutan manusia merangkumi bas ekspres.
Keempat, industri yang menyaksikan penurunan jualan lebih 100% seperti perhotelan dan pelancongan yang merangkumi bas pelancong, teksi, penerbangan udara dan laut.
“Walaupun ada antara mereka mungkin mengadaptasi ekonomi digital dalam perniagaan, namun majoriti PKS masih lagi kabur dan mencari-cari model perniagaan yang sesuai dengan kekuatan asal perniagaan mereka.
“Pastinya masalah setiap PKS di industri yang berlainan adalah berbeza juga, bantuan-bantuan yang diberikan harus bersasar kepada industri yang mengalami kesan negatif besar sehinggalah kepada kesan yang amat positif,” katanya lagi.
Baca : 7 pakej rangsangan bukti kerajaan komited urus ekonomi - Penganalisis
Sejak pandemik COVID-19 menular ke dalam negara, kerajaan telah memperkenalkan tujuh pakej bantuan rangsangan ekonomi yang mencecah nilai keseluruhan sehingga RM380 bilion. - DagangNews.com