PRINSIP Rukun Negara adalah sebuah ikrar yang diisytiharkan pada sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-13, iaitu pada 31 Ogos 1970 oleh Yang di-Pertuan Agong ke-4, Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin yang bertujuan untuk memperteguh perpaduan negara pasca tragedi 13 Mei 1969 yang menghancurkan “dinding” keharmonian antara kaum-kaum di Malaysia.
Baru-baru ini semasa Majlis Pelancaran Eksplorasi Rukun Negara, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang mengumumkan bahawa lafaz ikrar Rukun Negara akan diselaraskan iaitu dimulakan dengan bacaan mukadimah penuh dan disusuli dengan bacaan lima prinsip Rukun Negara di semua peringkat sekolah dan semua acara rasmi kerajaan.
Tujuan langkah ini diambil adalah sebagai sebuah usaha untuk menyemaikan taat setia dan perasaan cinta akan negara dalam kalangan rakyat Malaysia. Selain itu, kerajaan mahu mukadimah yang mengandungi cita-cita Rukun Negara kerana lima prinsip itu hanya rumusan tapi yang menyentuh hati ada pada cita-cita berkenaan.
Ini adalah satu bentuk usaha yang baik oleh pihak kerajaan, lebih-lebih lagi kita sedang berada dalam bulan kebangsaan. Malah langkah ini boleh disifatkan sebagai sebuah langkah tepat dalam mencapai objektif yang terkandung dalam mukadimah Rukun Negara itu sendiri.
Dalam mukadimah Rukun Negara itu telah digariskan beberapa objektif masyarakat Malaysia yang mahu dibentuk antaranya mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat, memelihara satu cara hidup demokratik, mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama.
Sungguhpun begitu, penghayatan prinsip Rukun Negara ini masih dilihat ampuh dalam kalangan segelintir generasi muda pada hari ini kerana ledakan revolusi dan dunia maya tanpa sempadan telah mendedahkan mereka dengan pengaruh budaya luar, yang secara jelas bercanggah dengan nilai-nilai adat dan budaya ketimuran yang digagas dan diterapkan dalam seluruh lapisan masyarakat.
Kurangnya penekanan terhadap prinsip Rukun Negara dari peringkat sekolah mungkin mendorong kepada punca ceteknya penghayatan prinsip itu sendiri. Murid di sekolah akan membaca prinsip itu pada setiap pagi tanpa memahami makna tersirat atau matlamat yang ingin dicapai daripada prinsip itu. Tidak hanya itu, Rukun Negara turut diletakkan di dalam buku teks, buku aktiviti dan buku tulis sekolah.
Pendekatan yang dilakukan ini amat baik dan boleh dikatakan sebagai sebuah permulaan yang bagus. Namun ia mungkin memerlukan sedikit penambahbaikan dan strategi yang lebih sesuai dan berkesan seiring peredaran zaman dalam memastikan kefahaman terhadap nilai-nilai yang terkandung dalam prinsip Rukun Negara itu berada dalam tahap yang tinggi, seterusnya memperkasa dan meningkatkan lagi perasaan cinta akan negara dalam sanubari setiap rakyat Malaysia.
Sebagai contoh di negara jiran iaitu Indonesia, negara itu turut mempunyai dasar sebagai falsafah utama kenegaraan republik itu yang dikenali sebagai Pancasila. Mirip seperti Malaysia, Pancasila mempunyai lima prinsip atau dasar yang berfungsi sebagai ideologi dan dasar negara, selain sebagai falsafah hidup dan medium pemersatuan bangsa Indonesia.
Dalam memartabatkan dan mengukuhkan pemerkasaan Pancasila, pemerintah Indonesia melalui Badan Pembinaan Ideologi Pancasila (BPIP) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan, dan Teknologi telah meluncurkan dan memperkenalkan buku teks utama Pendidikan Pancasila yang juga merupakan usaha pihak pemerintah untuk memperkuat penghayatan Pancasila.
Sememangnya, ini adalah tugas dan cabaran buat kerajaan dalam membina keluhuran prinsip Rukun Negara dalam kalangan rakyat khususnya golongan muda. Kita sedia maklum bahawa golongan muda adalah teraju utama dan peneraju ke arah kemajuan negara pada masa hadapan. Melahirkan belia yang berpegang kepada prinsip Rukun Negara merupakan keutamaan utama dalam membangun negara yang lebih pesat dan maju pada masa akan datang menjadi lebih terjamin.
Untuk merealisasikannya, pihak kerajaan melalui Kementerian Perpaduan Negara wajarlah merangka dan menyusun strategi untuk memperkasakan lagi dan mengukuhkan penghayatan nilai-nilai yang terkandung di dalam prinsip Rukun Negara dalam memastikan keharmonian dan perpaduan negara dapat dikekalkan seperti apa yang telah kita kecapi sehingga ke hari ini.
Malahan, pihak Kementerian Pendidikan turut boleh melaksanakan inisiatif untuk membentuk generasi muda yang patriotik dengan pengenalan mata pelajaran Rukun Negara yang mengandungi sejarah, objektif, falsafah dan keberhasilan yang ingin digapai hasil penghayatan prinsip tersebut dalam kalangan murid sekolah.
Kendatipun begitu, kita seharusnya bersyukur dan amat beruntung kerana dilahirkan di sebuah negara bernama Malaysia yang mempunyai kepelbagaian kaum, etnik, budaya, agama, bangsa dan lain-lain namun masyarakatnya dapat hidup dengan harmoni di bawah satu bumbung dan saling bertolak ansur antara satu sama lain.
Selamat Hari Kebangsaan kepada seluruh rakyat Malaysia. Dengan iringan doa dan harapan, semoga Malaysia terus aman, dicurahkan dengan limpahan kebahagiaan dan kesejahteraan serta rakyatnya hidup saling bersatu padu, bertolak ansur dan harmoni tanpa mengira apa jua perkara yang menjadi batu penghalang dan perbezaan kerana kita rakyat Malaysia. - DagangNews.com