Pemerolehan Apex Power Industry hasilkan sinergi positif kepada perniagaan EPCC Pekat Group - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pemerolehan Apex Power Industry hasilkan sinergi positif kepada perniagaan EPCC Pekat Group - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Ogos - MIDF Research meramalkan pemerolehan Apex Power Industry Sdn Bhd akan menghasilkan sinergi yang baik kepada perniagaan Pekat Group Bhd terutama dalam bidang kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) solar fotovoltaik (PV).

 

Katanya, Apex Power dan anak syarikatnya, EPE Switchgear Sdn Bhd adalah pengeluar suis dan transformer pengedaran yang merupakan komponen penting dalam sistem solar PV.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu dapat memanfaatkan prospek industri peralatan pengagihan kuasa, yang sebahagian besarnya didorong oleh pembangunan infrastruktur kepada industri pengguna perkhidmatan.

 

Ia termasuk pembinaan pencawang dan rangkaian pengedaran, yang secara langsung mewujudkan permintaan untuk suis.

 

"Memandangkan pemerolehan Apex Power dijangka selesai menjelang akhir 2024, kami tidak menjangkakan sebarang sumbangan hasil kepada Pekat pada FY24.

 

"Kami, bagaimanapun, menaikkan jangkaan pendapatan FY25F dan FY26F kami masing-masing sebanyak 39.6% dan 39.3% kepada RM31.4 juta dan RM33.3 juta, dengan mengambil kira sumbangan daripada Apex Power," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Pekat Group beli 60% pegangan ekuiti Apex Power Industry berharga RM96 juta

 

MIDF Research berkata, buku pesanan tertunggak kumpulan itu berjumlah RM185 juta  yang terdiri daripada projek solar atas bumbung.

 

Mereka menjangkakan ini akan berkembang kepada kira-kira RM300 juta menjelang suku keempat tahun ini apabila ia memperoleh pekerjaan EPCC berkaitan Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP).

 

"Semua loji tenaga solar di bawah CGPP perlu disiapkan selewat-lewatnya 2025, melainkan diluluskan sebaliknya oleh Suruhanjaya Tenaga.

 

"Pekat juga telah memperoleh kuota CGPP sendiri sebanyak 29.99MWac tahun lepas. Lojinya akan dibina di Tronoh, Perak. Prospek penambahan buku pesanan masa hadapan akan datang daripada pekerjaan EPCC berkaitan LSS5," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.32 sesaham. - DagangNews.com