Pemerolehan baharu GEA mampu tingkatkan produktiviti Hup Seng Industries - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pemerolehan baharu GEA mampu tingkatkan produktiviti Hup Seng Industries - MIDF Research

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 22 Feb - MIDF Research positif terhadap cadangan Hup Seng Industries Bhd. untuk memperoleh barisan pengeluaran baharu daripada GEA Imaforni S.p.A pada harga RM11.71 juta. 

 

Menurutnya, cadangan itu bukan sahaja akan meningkatkan produktiviti, malah mengurangkan kos pengeluaran Hup Seng. 

 

Menerusi pemerolehan terbaharu itu, GEA menawarkan waranti 12 bulan bagi rangkaian baharu dan komponen elektrik dalam pemerolehan baru-baru ini, berbanding waranti 6 bulan bagi komponen elektrik talian baharu yang diperoleh pada 2018.

 

"Oleh itu, kami berpendapat, cadangan pemerolehan baharu ini menunjukkan GEA mempunyai kredibiliti tinggi serta rekod prestasi yang terbukti dalam menyediakan peralatan bakeri dan barisan pengeluaran yang lengkap.

 

"Tambahan pula, tempoh lanjutan waranti untuk komponen elektrik akan memanfaatkan Hup Seng terhadap sebarang risiko tidak dijangka yang boleh meningkatkan kos operasi.

 

"Selain itu, pemasangan ketuhar baharu akan menggantikan ketuhar yang sudah lama secara beransur-ansur, justeru, kami menjangkakan kecekapan pengeluaran dan produktiviti yang lebih tinggi disebabkan penggunaan tenaga dan pembaziran yang lebih rendah," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia semalam, Hup Seng berkata, cadangan pemerolehan itu akan dilaksanakan menerusi anak syarikat milik penuhnya, Hup Seng Perusahaan Makanan (M) Sdn Bhd (HSPM). 

 

GEA ialah syarikat pemegang saham tunggal yang berpangkalan di Colli, Verona, Itali. Syarikat ini mempunyai lebih daripada 100 tahun pengalaman dalam bakeri dan menyediakan peralatan terkemuka industri serta barisan pengeluaran bakeri yang lengkap.

 

MIDF Research menjangkakan cadangan pemerolehan itu akan dibiayai secara tunai dengan mengambil kira kedudukan bersih tunai kumpulan yang kukuh berjumlah RM62.4 juta setakat tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22).

 

Firma itu menganggarkan barisan pengeluaran baharu (ketuhar baharu) itu akan memulakan operasi pada separuh kedua FY24 memandangkan langkah pemerolehan itu dijangka selesai dalam tempoh 16 bulan daripada tarikh menandatangani kontrak berkenaan.

 

"Oleh itu, keuntungan Hup Seng dijangka mendatar pada FY23, dan sedikit meningkat mulai separuh kedua FY24 dan seterusnya.

 

"Ini mendorong kami menaikkan unjuran keuntungan bagi FY24 dan FY25 masing-masing sebanyak 2.4% dan 3.1%, selepas mengambil kira sumbangan pendapatan daripada barisan pengeluaran baharu ini," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, ia mengekalkan saranan 'beli' terhadap Hup Seng dengan harga sasaran lebih tinggi pada 88 sen daripada 85 sen sebelum ini. - DagangNews.com