Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar UPM tingkat kesedaran Undi 18 mahasiswa | DagangNews Skip to main content

Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar UPM tingkat kesedaran Undi 18 mahasiswa

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

SERDANG 7 April - Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (PMPP 2022) Universiti Putra Malaysia (UPM) yang berlangsung baru-baru ini mencerminkan petanda baik terhadap pewartaan kelayakan undi usia 18 tahun oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). 

 

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (JPMPP) 2022, Kamil Arif Baihagi berkata, sebanyak 70% mahasiswa UPM majoritinya berusia antara 18 hingga 23 tahun telah mengundi dalam PMPP 2022 atau pilihan raya kampus.

 

“PMPP ini mencerminkan kesedaran politik mahasiswa telah meningkat. Generasi remaja dan muda selaku pelapis arah tuju negara telah menyokong proses demokrasi terutama apabila menjelang pilihan raya umum negara kelak.

 

“Salah satu mekanisme sokongan terhadap kelayakan mengundi 18 tahun sebenarnya bermula daripada pilihan raya kampus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut Kamil, sebanyak 11 calon umum dan 33 calon fakulti telah diisytiharkan menang dan akan membentuk Majlis Perwakilan Pelajar 2022 bermula esok, 8 April 2022. 

 

“Pembabitan mahasiswa sebagai pembuat keputusan ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada perubahan kampus UPM yang lebih berkebajikan, sejahtera dan berdaya saing,” katanya.

 

Katanya, undian calon umum tertinggi diraih oleh Rabiatul Adawiyah Fathor Rasi sebanyak 7,836 undi.

 

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu pula berkata, aspek yang perlu ditingkatkan dalam PMPP kelak ialah memastikan peratusan mahasiswa keluar mengundi lebih tinggi dan kesedaran politik oleh mahasiswa meningkat.

 

Prof Arifin berkata, beliau berbangga dengan kelancaran proses pilihan raya kampus berkenaan dan tarikh berkempen selama lima hari secara fizikal dan atas talian yang berjalan dengan aman, selain menyifatkan pengalaman berharga kepada mereka menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi untuk negara kelak.

 

 

upm
Prof. Dr. Arifin Abdu

 

 

“Pemilihan ini memperlihatkan mahasiswa telah mengambil peranan yang serius dalam menentukan kepimpinan dalam pelajar. Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) juga telah mengadakan pelbagai kempen komunikasi untuk menggalakkan mahasiswa keluar mengundi.

 

“Pembuangan undi secara maya menggunakan aplikasi telefon pintar, Putra Voting yang telah masuk tahun kedua pelaksanaannya dan diselia sepenuhnya oleh mahasiswa. JPMPP dengan Kerjasama BHEP juga telah menganjurkan tiga forum berkaitan tajuk pilihan raya dengan mahasiswa yang melibatkan beberapa pegawai SPR, “ katanya. - DagangNews.com

 

INFO PMPP UPM 2022

  • 13,671 pengundi
     
  •  19 calon umum dan 57 calon fakulti telah bertanding untuk terpilih sebagai 11 wakil kerusi umum dan 33 wakil fakulti  
     
  •  Calon bebas dan calon daripada tiga kumpulan pelajar yang berdaftar telah bertanding
     
  •  Pembuangan undi secara maya menggunakan aplikasi telefon pintar, ‘Putra Voting’ yang masuk tahun kedua.
     
  • Pilihan raya kampus ini dijalankan sepenuhnya oleh mahasiswa UPM