Pemilik rumah di Malaysia nikmati lonjakan nilai hartanah lebih RM100,000 dalam tempoh 10 tahun - Juwai IQI | DagangNews Skip to main content

Pemilik rumah di Malaysia nikmati lonjakan nilai hartanah lebih RM100,000 dalam tempoh 10 tahun - Juwai IQI

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Julai - Pemilik rumah di Malaysia menikmati lonjakan luar biasa dalam nilai hartanah dengan purata sekitar RM136,716 atau kenaikan lebih 40% dalam tempoh 10 tahun sehingga 2023.

 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, harga median meningkat daripada RM330,427 pada 2014 kepada RM467,143 pada 2023.

 

"Pemilik rumah di Malaysia melihat kekayaan peribadi mereka melonjak tinggi setara dengan jumlah gaji melebihi empat tahun hanya kerana nilai rumah mereka mencatatkan peningkatan. Jabatan Perangkaan menambat median gaji rasmi tahunan pada RM32,000.

 

"Data menunjukkan, jika seseorang mampu memiliki rumah sendiri secara mampan, ia akan menjadi antara laluan paling mudah untuk mereka mencapai keselamatan kewangan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata, Selangor merupakan dengan kenaikan nilai terbesar dalam tempoh 10 tahun dengan pemilik rumah di negeri itu menyaksikan kenaikan sebanyak RM169,091 pada 2023.

 

juwai
Kashif Ansari

 

Katanya, ia kemudiannya diikuti Sarawak dengan nilai rumah meningkat sebanyak RM152,016 dan Johor di kedudukan ketiga dengan kenaikan RM147,363.

 

Sementara itu, Kashif berkata, nilai rumah di Kuala Lumpur naik RM145,523 pada 2023 dan diikuti Negeri Sembilan dengan harga RM128,943.

 

Di Kelantan, beliau berkata, harga permulaan lebih rendah, tetapi harga rumah mempunyai peratusan keuntungan yang lebih besar.

 

Harga rumah Kelantan melonjak sebanyak 70% dalam tempoh 10 tahun, sebanyak RM105,537.

 

"Kelantan bukan satu-satunya negeri dengan pulangan yang memberangsangkan dari segi peratusan. Melaka, Negeri Sembilan dan Kedah semuanya memberi ganjaran kepada pemilik rumah dengan keuntungan 69% dalam nilai rumah. 

 

"Perak, Johor dan Perlis juga menyaksikan nilai rumah berkembang lebih 50%," katanya.

 

Walaupun median harga hartanah Malaysia meningkat sebanyak 42%, beliau berkata, pemegang gadai janji memperoleh pulangan yang lebih besar atau 66% daripada wang yang mereka masukkan ke dalam rumah mereka selama 10 tahun.

 

Beliau berkata, pemegang gadai janji mendapat manfaat daripada keseluruhan keuntungan harga walaupun mereka tidak perlu melabur nilai penuh rumah ketika membelinya.

 

“Negeri-negeri dengan pembeli rumah menerusi gadai janji memperoleh pulangan terbesar ialah Kelantan (113%), Melaka (111%), Negeri Sembilan (111%), dan Kedah (110%).

 

"Data tersebut jelas menunjukkan bahawa pemilikan hartanah di Malaysia merupakan pelaburan yang menguntungkan sejak sedekad lalu. Pemilik rumah telah melihat pulangan pelaburan yang memberangsangkan," tambahnya. - DagangNews.com