Pemotongan harga gentian rumah beri kesan minimum kepada Maxis, kata AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Pemotongan harga gentian rumah beri kesan minimum kepada Maxis, kata AmInvestment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Okt - AmInvestment Bank Research menjangkakan pemotongan harga gentian rumah hanya beri kesan minimum kepada Maxis Berhad.

 

Firma penyelidikan itu, mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan bagi FY23 hingga FY26 dan menyatakan bahawa produk Home Fiber menyumbang 8% daripada jumlah hasil 1HFY23 kumpulan.

 

Kumpulan itu sebelum ini mengumumkan pengurangan harga antara 13% hingga 32% dalam pelan gentian rumahnya, selepas memuktamadkan perjanjian akses dengan Telekom Malaysia (TM), berdasarkan standard mandatori mengenai harga akses (MSAP) baharu.

 

Pelan bulanan Maxis yang paling banyak dilanggan pada RM99 untuk 100Mbps kini setanding dengan harga baharu CelcomDigi dan Unifi.

 

Bagaimanapun, pada kelajuan lebih tinggi iaitu 300Mbps dan ke atas, harga bulanan Maxis kini lebih kompetitif, lebih murah sebanyak RM10 untuk 300Mbps dan 500Mbps.

 

"Kami menganggap bahawa ini adalah sebahagian daripada strategi Maxis untuk menawarkan lebih banyak pilihan penetapan harga untuk pelanggan. Bagi pelanggan sedia ada yang melanggan pelan pada 100Mpbs dan ke atas, Maxis menyediakan peningkatan kelajuan percuma.

 

"AmInvestment percaya sumbangan pendapatan FY23F daripada gentian rumah akan kekal tidak berubah memandangkan pengurangan ARPU dalam unit gentian rumah akan mendapat pampasan oleh caj rangkaian yang lebih rendah.

 

"Kami menganggap pengurangan harga gentian rumah memberi manfaat kepada Maxis dengan kekal berdaya saing berbanding pesaingnya, serta potensi pertumbuhan dalam pangkalan pelanggan gentian rumahnya daripada tawaran penggabungan yang lebih menarik, disokong oleh kualiti perkhidmatan pelanggannya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga wajar (FV) RM3.90 sesaham.- DagangNews.com