Pemulihan aktiviti perdagangan, pelancongan diunjur beri kesan positif kepada sektor pengangkutan - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Pemulihan aktiviti perdagangan, pelancongan diunjur beri kesan positif kepada sektor pengangkutan - RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Jan - RHB Investment mengunjurkan pemulihan dalam aktiviti perdagangan dan pelancongan pada tahun ini dijangka memberi kesan positif kepada sektor pengangkutan.

 

Katanya, sektor itu akan menerima manfaat daripada pemulihan momentum eksport negara selain pelaksanaan kemasukan tanpa visa pelancong dari China dan India serta penyelesaian peraturan untuk Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

 

Firma penyelidikan itu menyukai MAHB (beli; TP: RM8.60) kerana pendedahannya kepada pemulihan pelancongan antarabangsa di lapangan terbang Malaysia dan Turkiye selain potensi perkembangan daripada perjanjian operasi baharu dan caj aeronautik.

"MAHB kekal sebagai pilihan utama berikutan pemulihan kukuh pelancongan antarabangsa di lapangan terbang Malaysia dan Tukiye didorong perjalanan keluar China serta penyampungan semula kapasiti syarikat penerbangan.

 

"Kami juga menjangkakan penyelesaian masalah peraturan selesai pada suku pertama tahun ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

RHB Investment juga memilih Tasco Berhad (beli; TP: RM1.35) sebagai pilihan utama dalam sektor itu keranan kepelbagaian pangkalan pelanggan, segmen perniagaan yang stabil dan insentif cukai perkhidmatan logistik bersepadu (ILS) yang berdaya saing.

 

"Tasco menjadi syarikat yang menyerlah bagi kepelbagaian pangkalan pelanggan dan segmen perniagaan yang mampan serta insentif cukai ILS yang akan menawarkan penampan terhadap cabaran di dalam sektor itu," katanya.

Dalam pada itu, firma penyelidikan itu menegaskan bahawa pemain industri kurier seperti GDEX Berhad (jual; TP:12 sen) masih berdepan cabaran berikutan persaingan harga yang sengit daripada pemain pasaran dalam talian dengan peraturan yang lebih ketat pada harga minimum bagi setiap bungkusan.

 

Mereka juga mengekalkan saranan "beli" ke atas FM Global Logistics Holdings Berhad, dengan TP 68 sen, dan pendirian "neutral" ke atas Westports Holdings Berhad, dengan TP RM3.60. - DagangNews.com