Pemulihan bekalan air meningkat kepada 84 kawasan | DagangNews Skip to main content

Pemulihan bekalan air meningkat kepada 84 kawasan

Gangguan bekalan Air Selangor

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 7 Okt. - Sebanyak 84 kawasan telah berjaya menerima bekalan air sepenuhnya setakat pukul 11 pagi berbanding 46 kawasan yang dilaporkan pada pukul 6 pagi tadi.

Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) dalam makluman rasmi di media sosialnya berkata, peningkatan jumlah kawasan yang pulih itu menjadikan peratusan pemulihan semasa adalah pada tahap 31%.

"Justeru, sebanyak 190 kawasan yang masih lagi dalam proses pemulihan di wilayah yang terjejas.

"Hulu Langat menjadi wilayah yang mencatatkan peratus pemulihan tertinggi iaitu 58%, diikuti dengan wilayah Kuala Langat sebanyak 55%.

"Wilayah Petaling pula mencatatkan peratusan pemulihan sebanyak 43%, sementara wiayah Sepang/Putrajaya masih berada pada tahap 0%," jelas Air Selangor.

Pada 4 Oktober lalu, Air Selangor melaporkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi.

Perkara tersebut disebabkan oleh pencemaran bau yang dikesan di Sungai Semenyih dan disyaki berpunca dari Kawasan Perindustrian Nilai, Negeri Sembilan.

Susulan itu, seramai 309,687 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang/Putrajaya mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Dalam hantaran di ruangan Facebooknya juga, Air Selangor turut menggariskan tiga faktor yang mempengaruhi proses pemulihan air.

Tiga faktor tersebut ialah tekanan air, muka bumi dan jajaran paip.

Jelasnya, faktor tersebut menjadi sebab sekiranya saluran air lambat tiba ke rumah pengguna. - DagangNews.com