Pemulihan berterusan ekonomi pacu kestabilan bank-bank di pasaran baru muncul | DagangNews Skip to main content

Pemulihan berterusan ekonomi pacu kestabilan bank-bank di pasaran baru muncul

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 29Nov - Tinjauan 2022 untuk bank dalam pasaran baru muncul (EM) adalah stabil, disokong oleh pemulihan berterusan dalam aktiviti ekonomi, kata Moody's Investors Service. 

 

Dalam laporan tinjauan 2022 untuk bank EM, Moody's berkata faktor lain termasuk kunci kira-kira bank yang kukuh, tahap rizab kerugian pinjaman yang tinggi, keuntungan yang tinggi, kecairan serta kedudukan modal yang mantap akan membantu mengurangkan risiko jangka pendek.

 

Pengarah Urusan Bersekutu Moody's Ceres Lisboa berkata agensi itu menjangkakan ekonomi G20 EM akan terus menunjukkan pemulihan kukuh sebanyak 4.8% pada 2022 dan 4.3% pada 2023, secara purata, dengan keadaan operasi mencapai tahap pra-pandemik di kebanyakan negara.

 

"Bank-bank EM akan mengekalkan penampan rizab kerugian pinjaman yang dibina pada 2020 yang akan mengurangkan risiko peningkatan sederhana dalam pinjaman tidak berbayar, berikutan tempoh sokongan telah tamat serta tekanan inflasi di rantau ini dan pasaran pekerjaan yang lemah di beberapa negara,” kata Lisboa.

 

Moody's berkata ekonomi China yang perlahan mungkin akan membawa kepada penyederhanaan dalam jumlah perniagaan bank. 

 

Bagaimanapun, ia berkata risiko aset terkawal dan kecairan akan kekal mencukupi. 

 

Ujanya pemulihan ekonomi masih boleh terjejas oleh kadar vaksinasi yang perlahan di beberapa wilayah, seperti di Asia Tenggara, Afrika dan di negara Komanwel Negara-Negara Merdeka (CIS) di mana kadar vaksinasi masih berada di bawah EM yang lain.

 

"Kebanyakan bank di negara tersebut mengekalkan permodalan dan keuntungan yang kukuh dan penampan rizab yang mencukupi yang akan membantu menangani ketidaktentuan dan risiko yang tidak dijangka," katanya.

 

Menurut laporan Moody's itu lagi, di India, peningkatan dalam tahap aktiviti akan memacu pertumbuhan kredit, dengan kesan positif kepada risiko aset. 

 

Katanya harga minyak yang lebih tinggi akan terus menambah baik kedudukan fiskal kerajaan GCC sekali gus membantu profil pendapatan bank. -DagangNews.com