Pemulihan Panasonic berdepan rintangan, harga produk mungkin dinaikkan  | DagangNews Skip to main content

Pemulihan Panasonic berdepan rintangan, harga produk mungkin dinaikkan 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 25 Nov - Meskipun Panasonic Manufacturing Malaysia Bhd. mampu mencapai pemulihan kukuh pada separuh kedua 2022, namun ia dijangka berdepan rintangan yang boleh menggugat prospek kumpulan. 

 

CGS-CIMB berkata, pemulihan bagi jualan dan margin Panasonic bagaimanapun bergantung kepada keupayaannya untuk meminimumkan kesan kenaikan harga bahan mentah, pengurangan tenaga kerja dan kekurangan komponen.

 

"Dalam hal ini, kami berpendapat, harga produk Panasonic mungkin dinaikkan pada April 2022," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Menerusi laporan kewangan yang diumumkan semalam, untung bersih teras Panasonic bagi suku kedua berakhir 30 September 2021 menjunam sehingga 94.4% kepada hanya RM2.5 juta (susut 86.1% suku ke suku).

 

Ini menjadikan untung bersih teras bagi separuh pertama berjumlah RM20.2 juta (susut 52.1% tahun ke tahun). 

 

"Dengan prestasi kewangan ini, ia adalah di bawah jangkaan kami pada 17.8% dan 18.3% konsensus Bloomberg disebabkan jualan peringkat domestik dan eksport yang lebih lemah serta margin operasi lebih rendah daripada jangkaan pada suku kedua," jelas firma tersebut. 

 

Menurut CGS-CIMB, pendapatan suku kedua susut 44.1% suku ke suku disebabkan jumlah jualan terjejas dengan langkah penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan bagi mengekang penularan wabak COVID-19. 

 

Katanya, ini termasuklah jualan yang lemah menerusi pasaran Asia Barat yang menyusut sehingga 51.5% dan Asia (-41.5%) terutama Vietnam dan Hong Kong. 

 

Tambahan pula, segmen produk kipas angin mencatat kerugian sebelum cukai sebanyak RM6.1 juta (susut 160.7% suku ke suku) manakala segmen kelengkapan isi rumah mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM1.5 juta (susut 85.5% suku ke suku).

 

Ini menyaksikan margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) merosot 10.4% bagi suku ke suku kepada 0.6% manakala untung bersih teras susut 86.1% suku ke suku kepada RM2.5 juta.

 

"Sepatutnya kelonggaran sekatan pergerakan dan permintaan yang kembali pulih akan mendorong jualan yang lebih baik pada separuh kedua ini. 

 

"Apatah lagi, kilang pengeluaran Panasonic kini sudah beroperasi dengan kapasiti penuh bagi memenuhi pengeluaran yang tertangguh sebelum ini dan memenuhi pesanan tertunggak," katanya. 

 

Dengan mengambil kira semua faktor ini dan juga untung bersih yang tersasar daripada jangkaan firma, CGS-CIMB mengurangkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi FY22-FY24 antara 4.2-29.3% kerana pendapatan diunjur lebih rendah manakala kos input meningkat.

 

Firma itu turut mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran lebih tinggi pada RM31.50 daripada RM31.40 sebelum ini 

 

Setakat 12.20 tengah hari, harga saham Panasonic susut 8 sen atau 0.27% kepada RM29.82 dengan 7,300 diniagakan. - DagangNews.com