Pemulihan perdagangan luar, ekonomi Malaysia diunjur berkembang 4.7% pada 2024 - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pemulihan perdagangan luar, ekonomi Malaysia diunjur berkembang 4.7% pada 2024 - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Jan - MIDF Research menjangkakan ekonomi Malaysia berkembang 4.7% pada 2024 didorong pemulihan perdagangan luar selain pertumbuhan positif dalam perbelanjaan domestik.

 

Katanya, memandangkan kejatuhan Indeks Pelopor (LI) yang agak kecil, ia dilihat tidak menjejaskan memomentum pertumbuhan pada bulan-bulan akan datang.

 

Mereka juga mengunjurkan bahawa ekonomi negara berkembang pada kadar 4.2% pada 2023.

 

"Pertumbuhan itu akan didorong oleh pertumbuhan mampan dalam perbelanjaan domestik, disokong oleh pasaran tenaga kerja yang sihat serta pemulihan dalam aktiviti pelancongan serta perbelanjaan pelancong.

 

"Bagaimanapun terdapat beberapa risiko penurunan seperti peningkatan ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan, ketidakstabilan dalam pasaran komoditi serta kewangan selain kemelesetan di Amerika Syarikat (AS) yang boleh menjejaskan prospek pertumbuhan keseluruhan," katanya dalam satu nota kajian.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Jumlah dagangan Malaysia untuk Nov 2023 berjumlah RM231.8 bilion - DoSM

 

Terdahulu, eksport negara susut sebanyak RM7.6 bilion (-5.9%) berbanding November tahun lalu.

 

Penurunan eksport itu disumbangkan oleh eksport yang lebih rendah di kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (-RM5.4 bilion), Selangor (-RM2.4 bilion), Sarawak (-RM1.6 bilion), Terengganu (-RM869.1 juta ), Melaka (-RM755.1 juta), Labuan (-RM704.8 juta), Pahang (-RM308.0 juta), Negeri Sembilan (-RM164.2 juta), Perlis (-RM29.9 juta) dan Kuala Lumpur (-RM9.9 juta).

 

Sementara itu, import meningkat RM1.8 bilion (+1.7%) berbanding bulan yang sama pada 2022.

 

Peningkatan import itu disumbangkan oleh import yang lebih tinggi di kebanyakan negeri seperti Kuala Lumpur (RM2.7 bilion), Negeri Sembilan (RM1.4 bilion), Pahang (RM1.1 bilion), Sabah (RM514.3 juta), Selangor (RM492.7 juta), Johor (RM197.1 juta), Melaka (RM114.4 juta) dan Terengganu (RM109.4 juta).

 

Firma penyelidikan itu juga berhati-hati dengan kesan inflasi import yang tinggi dan perubahan dasar kerajaan ke atas harga pengguna yang akan menimbulkan kesan buruk kepada kuasa beli pengguna serta prospek perbelanjaan keseluruhan.- DagangNews.com