Pemulihan perjalanan Malaysia dijangka pacu ekonomi digital kepada AS$23 bilion pada 2023 -Laporan e-Conomy SEA 2023 | DagangNews Skip to main content

Pemulihan perjalanan Malaysia dijangka pacu ekonomi digital kepada AS$23 bilion pada 2023 -Laporan e-Conomy SEA 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Nov - Pemulihan perjalanan Malaysia dijangka memacu ekonomi digital kepada AS$23 bilion pada 2023 dan pecutan e-dagang akan membantu peningkatan kepada AS$30 bilion menjelang 2025.

 

Google, Temasek dan Bain & Company dalam laporannya berkata, sektor itu mencatatkan pertumbuhan terpantas merentasi sektor ekonomi digital iaitu sebanyak 49%dengan permintaan perjalanan keluar kekal tinggi, mendorong pemulihan berterusan dan pertumbuhan jangka pendek dalam industri perjalanan digital.
 

Katanya, Malaysia mempunyai sektor Pengangkutan dan Penghantaran Makanan yang paling pesat berkembang di Asia Tenggara dengan sektor itu berkembang sebanyak 16%, didorong oleh pulangan para penduduk Malaysia kepada aktiviti luar talian dan pilihan berterusan untuk penghantaran makanan. 

 

"Walaupun jumlah pengunjung di pusat beli-belah kembali normal dan industri makanan serta minuman mengalami peningkatan, pengguna Malaysia masih mengamalkan kebiasaan digital yang memudahkan kehidupan mereka, seperti penghantaran makanan dan e-dagang," katanya dalam Laporan e-Conomy SEA 2023, hari ini. 
 

Katanya, pertumbuhan e-dagang mendatar selepas berkembang sebanyak 4% antara 2021 dan 2022 berbanding pertumbuhan yang didorong oleh pandemik, namun ia kekal sebagai sektor ekonomi digital terbesar Malaysia pada AS$13 bilion, menyumbang sebanyak 57% daripada jumlah Nilai Barangan Kasar (GMV). 

 

"E-dagang mendapat penerimaan yang tinggi di Kuala Lumpur dan Selangor. Bagaimanapun, terdapat jurang yang berterusan antara jurang permintaan dan bekalan di kawasan lain di Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur, yang memberikan peluang kepada pemain e-dagang untuk berkembang di kawasan tersebut," katanya.

 

Pengarah Negara, Google Malaysia, Samuele Saini berkata, GMV Malaysia diunjurkan mencecah antara AS$45 bilion hingga AS$70 bilion menjelang 2030 dan kebangkitan semula sektor pelancongan dan tingkah laku digital pengguna Malaysia dalam e-dagang dan penghantaran makanan boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi ini. 

 

"Dengan pencapaian kemajuan yang baik oleh Malaysia dalam merapatkan jurang ketersambungan, menangani penyertaan digital di luar kawasan bandar boleh menjadi kunci kepada pertumbuhan seterusnya," katanya. 

 

Sementara itu, permintaan domestik Malaysia kekal teguh meskipun terdapat cabaran luaran manakala perbelanjaan isi rumah semakin meningkat, termasuk pekerjaan dan gaji.

 

Penerimaan perkhidmatan kewangan digital (DFS) terus berkembang dengan pesat, menjadikan Malaysia sebagai pasaran pembayaran digital terbesar kedua di rantau Asia Tenggara.

 

Dalam pada itu, peratusan isi rumah yang mempunyai akses internet menyaksikan peningkatan daripada 76% kepada 97% untuk bandar dan 49% kepada 89% untuk luar bandar, bagi tempoh 2015 - 2022. - DagangNews.com