Pemulihan projek berkaitan air diunjur tingkatkan permintaan terhadap produk Engtex, kata CGS International | DagangNews Skip to main content

Pemulihan projek berkaitan air diunjur tingkatkan permintaan terhadap produk Engtex, kata CGS International

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Ogos - CGS International mengunjurkan pemulihan semula projek berkaitan air berikutan kenaikan tarif baru-baru ini akan meningkatkan permintaan terhadap produk keluaran Engtex Group Bhd.

 

Katanya, kitaran penggantian paip air di seluruh negara, pelancaran projek infrastruktur tempatan dan skim bekalan air dan pembinaan pusat data adalah pemangkin penarafan semula kepada kumpulan itu.

 

Firma penyelidikan itu berkata, projek infrastruktur kerajaan akan meningkat pada separuh kedua 2024 yang memerlukan paip keluli lembut (MS) yang berpotensi mendorong permintaan untuk produk kumpulan itu.

 

"Peningkatan pembinaan juga akan memacu permintaan untuk jaring dawai yang merupakan penyumbang hasil terbesar dalam segmen pembuatannya sebanyak 40% pada FY23.

 

"Projek bekalan air di Malaysia termasuk skim bekalan air Rasau, loji rawatan air Langat 2 dan skim pemindahan air Perak-Pulau Pinang yang menggunakan paip diameter lebih besar akan memberi memanfaatkan kumpulan ini selain meningkatkan margin mereka," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

CGS International berkata, Engtex juga memiliki pendedahan kepada pusat data (DC) di Malaysia dan baru-baru ini berjaya menyempurnakan kontrak RM7 juta bagi pusat data di Johor.

 

"Kami menjangkakan lebih banyak kontrak akan menyusul memandangkan kedudukan Johor sebagai hab DC di Asia Pasifik. 

 

"Engtex juga menerokai Sarawak dengan mereka sedang membina loji paip MS yang dijadualkan siap pada separuh kedua 2026," katanya.

 

Sehingga Jun 2024, buku tender kumpulan itu berjumlah RM403 juta dan mereka juga mempunyai pesanan tertunggak daripada Taliworks bernilai RM80 juta yang dijadualkan untuk penghantaran pada tahun ini.

 

Firma penyelidikan itu menyemak naik penarafan kepada 'tambah' berbanding 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM1.70 sesaham.- DagangNews.com