Pemulihan segmen penjagaan kesihatan, TA Research optimis terhadap prospek Duopharma | DagangNews Skip to main content

Pemulihan segmen penjagaan kesihatan, TA Research optimis terhadap prospek Duopharma

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Jan - TA Research kekal optimis terhadap prospek pertumbuhan Duopharma Biotech Berhad disokong oleh pemulihan segmen penjagaan kesihatan pengguna serta peningkatan sumbangan daripada sektor awam.

 

Pada masa sama, unjuran itu juga turun dibantu peruntukan belanjawan kesihatan yang lebih tinggi pada tahun ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pengurusan kumpulan menjangkakan bahawa jualan bagi produk penjagaan kesihatan pengguna (CHC) mula mencatatkan peningkatan secara beransur-ansur berikutan asas yang rendah pada tahun lalu serta pelancaran produk baharu.

 

"Dari FY21 hingga FY23, sektor awam menyumbang antara 43% hingga 45% daripada hasil kumpulan.

 

"Sektor penjagaan kesihatan akan menerima peruntukan besar sebanyak RM41.2 bilion pada tahun ini, peningkatan sebanyak 13.5% berbanding RM36.3 bilion pada tahun lalu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

TA Research berkata, sumbangan besar daripada sektor awam akan memberi dua faedah utama kepada kumpulan termasuk kontrak pembelian produk baharu yang diluluskan (APPL) dijangka dimuktamadkan pada suku pertama 2024.

 

Dari segi harga, firma penyelidikan itu percaya ia adalah lebih tinggi kerana ia berdasarkan kadar pertukaran RM4.60 hingga RM4.70 bagi setiap dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding RM4.2 hingga RM4.25 pada 2017.

 

"Selain itu, kami menjangkakan sumbangan insulin akan meningkat kepada RM90 juta pada FY24 (berbanding kira-kira RM60 hingga RM65 juta pada FY23F)," katanya.

 

Sementara itu, pihak pengurusan mengesahkan perpindahan produk ke kilang K3 baharu di Klang berjalan dengan baik dengan kilang itu telah menerima sijil penyiapan dan pematuhan pada suku keempat 2023.

 

Katanya, kumpulan itu sedang dalam proses memindahkan semua produk daripada kilang K1 kepada K3 dan ia akan berjalan pada kadar penggunaan antara 40% hingga 50%  setelah dipindahkan sepenuhnya pada suku keempat tahun ini.

 

"Bagi kilang di Bangi, kadar penggunaannya adalah antara 45% hingga 55% dan menjangkakan ia akan meningkat antara 2% hingga 5% selepas pemberian kontrak APPL baharu," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.47 sesaham.

 

Terdahulu, untung bersih Duopharma Biotech Berhad susut kepada RM8.9 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2023 (3QFY23) berbanding RM16.4 juta pada suku sama pada tahun sebelumnya hasil mereka juga menyusut kepada RM169.2 juta berbanding RM177.1 juta. - DagangNews.com