Pemulihan sektor media masih berliku, pengiklan pula lebih cenderung pilih saluran digital | DagangNews Skip to main content

Pemulihan sektor media masih berliku, pengiklan pula lebih cenderung pilih saluran digital

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 13 Sept - Pemulihan sektor media dijangka mengambil tempoh yang lebih lama dan berliku terutamanya pertumbuhan yang terhad dalam saluran media tradisional.

 

Malah, Kenanga Research mendapati kebanyakan pengiklan lebih cenderung untuk terus memilih saluran media digital. 

 

Ini mendorong firma itu mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor tersebut memandangkan prestasi kewangan pada suku kedua bagi syarikat media di bawah liputannya menyaksikan kemerosotan secara berturut-turut. 

 

"Walaupun pemain industri melihat sedikit pemulihan dari segi pendapatan bagi saluran media tradisional, tetapi pertumbuhan pendapatan keseluruhan kekal tidak berubah apabila penguncupan dalam segmen lain mengimbangi pembukaan semula ekonomi," katanya dalam nota kajian hari ini

 

Dalam kalangan empat syarikat di bawah liputannya, hanya satu sahaja yang memenuhi jangkaan manakala tiga lagi merekodkan prestasi kewangan di bawah jangkaan.

 

Laporan kewangan pada suku kedua itu membuktikan peralihan kepada fasa endemik masih sukar buat sektor media. 

 

Semua pemain industri (kecuali Astro Malaysia Holdings Bhd.) menyaksikan pemulihan permintaan bagi saluran media tradisional apabila hasil pengiklanan bagi segmen teras (televisyen, radio dan surat khabar) meningkat. 

 

Bagaimanapun, Kenanga Research berkata, peningkatan itu telah diimbangi dengan kesan negatif tertentu daripada pemansuhan peraturan bagi mengekang wabak COVID-19.

 

"Selepas pembukaan semula ekonomi, pendapatan daripada perkhidmatan beli-belah di rumah mengalami kejatuhan yang besar dengan Media Prima susut 44.4% tahun ke tahun manakala Astro susut 53.1%.

 

"Media Chinese International Ltd. yang menikmati kos subsidi daripada pelbagai kerajaan di seluruh rantau operasinya, kini tertekan oleh kos yang sama apabila subsidi ditarik balik berikutan seluruh dunia memasuki fasa endemik.

 

"Hanya Star Media Group Bhd. terus mengatasi jangkaan pada suku berkenaan berikutan pelaksanaan langkah pengoptimuman kos yang kukuh membawa kumpulan itu kepada keuntungan untuk suku kedua berturut-turut," jelasnya. 

 

Bagaimanapun, secara keseluruhan, Media Prima masih menjadi piilihan utamanya bagi sektor media dengan penarafan 'outperform' pada harga sasaran 64 sen. 

 

Ini kerana menurutnya, pendekatan bersepadu untuk pengiklanan melalui Omnia, mampu menawarkan sasaran demografi yang lebih baik.

 

Malah, katanya, keputusan separuh pertama untuk kumpulan telah menunjukkan pemulihan dalam permintaan pengiklanan dan penyiaran serta rasionalisasi kos yang kukuh berikutan penyatuan bahagian pengiklanan menerusi Omnia.

 

"Namun, kami tetap berhati-hati dengan segmen beli-belah di rumah yang semakin menguncup memandangkan pengguna telah beralih kepada aktiviti beli-belah di luar rumah.

 

"Pada masa sama, pengiklanan menerusi billboard masih kekal merekodkan kerugian dan pemulihannya ke tahap sebelum pandemik, dilihat masih jauh," tambahnya. - DagangNews.com